Pertandingan Rekabentuk Poster ACA (Adobe Certified Associate) Championship dianjurkan setiap tahun semenjak 2016 bagi mencungkil bakat baru di kalangan pelajar dalam bidang rekaan grafik. Ia dianjurkan oleh sebuah syarikat berpengkalan di Kuala Lumpur iaitu Acestar Sdn Bhd. Ia mendapat sokongan dari MDEC (Malaysia Digital Economy Corporation) dan JPT (Jabatan Pendidikan Tinggi). Pertandingan ini bertaraf antarabangsa namun pelajar perlu menang di peringkat kebangsaan untuk mewakili negara ke peringkat antarabangsa. Ia disertai oleh IPTA dan IPTS seluruh Malaysia bagi mencari yang terbaik. Peserta perlu memiliki pengetahuan perisian Adobe Photoshop, Illustrator atau InDesign di samping prinsip asas rekaan.

KUIS tidak melepaskan peluang menyertai pertandingan ini dengan menghantar beberapa orang peserta. Mereka terdiri dari pelajar Ijazah Sarjana Muda Multimedia Kreatif, Ijazah Sarjana Muda Usuluddin Multimedia, Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab Multimedia dan Diploma Multimedia. Selepas tiga tahun penyertaan, pelajar KUIS berjaya menempatkan diri di kalangan 30 terbaik di Malaysia. Einnannabella Nadzri merupakan pelajar semester 4 program Bahasa Arab Multimedia. Bakat beliau mula terserlah semasa semester 2 lagi melalui kursus Graphic Design yang diambil sebagai sebahagian dari silibus program multimedia. Komitmen, usaha, keyakinan dan doa yang disertakan sepanjang pertandingan ini telah memberi kejayaan. Semoga beliau terus berjaya di peringkat seterusnya.

Proses pengadilan dijalankan oleh pakar dalam industri yang terdiri dari Pengarah Kreatif agensi periklanan dan penyiaran. Peserta yang berjaya terpilih di peringkat 30 terbaik perlu lulus peperiksaan (ACA Exam). Peserta perlu menjawab 40 soalan berbentuk simulasi dan objektif dalam tempoh 50 minit. Markah lulus ialah 700 dari 1000 markah penuh. Setelah lulus peperiksaan ini, peserta perlu menjalani ujian (Live Test) pada hari berikutnya di mana peserta perlu menyiapkan satu poster berdasarkan tema yang diberi tanpa internet access. Masa yang diberikan ialah selama lapan jam. Bermula jam 9 pagi hingga 6 petang.

Peserta perlu menunggu sehingga selesai urusan penilaian yang dijalankan oleh pakar dalam bidang grafik untuk memilih pemenang di antara 30 poster yang dihasilkan semasa ujian. Pemenang pertama akan mewakili Malaysia ke pertandingan peringkat antarabangsa di New York, Amerika Syarikat. Pemenang kedua dan ketiga memenangi hadiah komputer (workstation). Pemenang diumumkan dalam satu seminar iaitu SEA Connect Creative Conference. Setiap poster dipamerkan di ruang legar di Bangsar South Connexion Centre.

Pihak FSTM dan KUIS amat mengalu-alukan penglibatan pelajar dalam pertandingan ini. Ia dapat memberi manfaat kepada pelajar melalui pendedahan kepada perisian Adobe dan trend terkini bidang rekabentuk grafik. Maklumat lanjut mengenai mengenai pertandingan ini boleh hubungi ahmadsyukri@kuis.edu.my.