BANGI, Mac 3,2018 – Tahniah Team RAIZA dari KUIS yang telah berjaya mendapat tempat ke-4 dalam pertandingan keselamatan siber, Hack@10 anjuran Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) . Hack@10 adalah merupakan pertandingan berasaskan format Capture The Flag bertujuan menguji pengetahuan dan kemahiran pelajar dalam bidang keselamatan komputer dan rangkaian. Sebanyak 20 kumpulan daripada institut pengajian tinggi awam dan swasta telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini.

FSTM KUIS telah menghantar 3 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Teknologi Rangkaian) menyertai pertandingan ini iaitu Muhammad Hazmirul Afiq Bin Mohamad Zairi, Ahmad Fareed Fauzi Bin Mohamad Radzi dan Muhammad Al Imran Bin Mohd Khairuddin dengan diiringi oleh pensyarah Jabatan Sains Komputer, En. Khairil Ashraf Elias dan En. Khirulnizam Abd Rahman.

Selain itu, FSTM KUIS turut menghantar 6 orang pelajar menghadiri Cyber Security Talk yang diadakan bersempena pertandingan Hack@10. Ceramah berkaitan kerjaya dalam bidang keselamatan siber ini telah melibatkan pakar – pakar industri yang dijemput khas bagi berkongsi pengalaman mereka.

Sesunguhnya, penyertaan pelajar FSTM KUIS dalam pertandingan Hack@10 ini telah memberikan pengalaman yang amat berharga buat semua yang terlibat kerana mereka telah mendapat pendedahan berkenaan keselamatan siber daripada aspek teknikal, kemahiran analitikal dan kerja berpasukan untuk diaplikasikan dalam pembelajaran dan kerjaya masing – masing kelak.