INDAHNYA PENGORBANAN HEBATNYA PERJUANGAN
بسم الله الرحمن الرحيم
الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر ولله الحمد
Alhamdulillah, kita panjatkan ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi nikmat Islam dan Iman hasil daripada pengorbanan pejuang-pejuang agama Allah. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul yang telah berkorban dan berjuangan demi agama Allah SWT.
Sempena Eidul Adha ini marilah kita mengambil iktibar pengorbanan yang hakiki adalah pengorbanan yang tulus untuk mencari redha Allah iaitu berkorban untuk membela akidah dan syariah. Lihatlah pengorbanan Siti Hajar yang tabah dan Saidina Abu Bakar r.a yang telah membelanjakan seluruh hartanya untuk Islam. Hebat dan dahsyatnya pengorbanan mereka demi Islam. Inilah sebenarnya gambaran pengorbanan yang ikhlas dan komited hanya mengharapkan keredhaan Allah SWT.
Allah SWT menjadikan sejarah ini berlaku sebagai pedoman dan petunjuk bagi kehidupan pada masa hadapan. Islam mengajar umatnya mengorbankan jiwa dan harta demi menguji keimanan kepada Allah SWT.
Pengorbanan yang ikhlas pasti membuahkan perasaan bahagia, hati yang tenang dan tenteram. Pengorbanan adalah suatu kepuasan bagi seorang mukmin, kenikmatan dan kemanisan dalam proses kehambaan kepada Allah dengan ganjaran kebaikan dan pahala di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sangat mencintai orang yang sentiasa berkorban untuk membahagiakan orang lain dengan apa yang dimiliki dan Allah mencintai orang yang berkorban dengan harta dan jiwa untuk menegakkan kalimah Allah. Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, jiwa-jiwa mereka dan harta-harta mereka dengan bayaran syurga."(Al-Taubah : 111)
Pengorbanan memberikan hikmah terbesar sebagai momentum untuk membersihkan kita dari penyakit kronik dalam kehidupan yang boleh mematikan hati dan jiwa seperti hasad dengki, dendam, mengadu domba, sombong dan semua pakej sifat mazmumah yang mesti “dihapuskan” dalam membentuk peribadi yang soleh dan bertaqwa.
Berkorban adalah satu bentuk ujian daripada Allah SWT kerana dalam menjalani kehidupan di dunia kita harus melakukan pengorbanan. Hidup tanpa pengorbanan adalah kehidupan yang gagal. Pengorbanan yang ikhlas selalu menghasilkan sesuatu yang indah. Hidup adalah perjuangan yang sangat memerlukan pengorbanan dalam menuju sebuah perjuangan yang hebat.
Justeru setinggi –tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga KUIS yang terus berjuang dan berkorban untuk mempromosi KUIS dan memastikan KUIS mencapai status Universiti pada tahun 2016. Bersama kita berjuang dan berkorban membina masa depan KUIS yang lebih hebat sebagai sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Islam yang berkualiti bersedia menggalas tanggungjawab melahirkan Dai, Ulama dan Umara.
Salam Eidul Adha 1436 Hijrah daripada saya dan Pengurusan KUIS kepada para mahasiswa, para pensyarah, para pegawai dan seluruh warga KUIS yang diingati lagi dikasihi yang sentiasa berjuang dan berkorban demi Jihad Pendidikan Islam. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati kita. Ameen.
الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر ولله الحمد