ms my en gb ar aa
  Staff Portal      MyPortal      kLMS      COVID-19

YBHG. PROFESOR DATO' DR. AB. HALIM BIN TAMURI
REKTOR, KOLEJ UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SELANGOR

MENSYUKURI NIKMAT ALLAH DAN MEMPERKUKUH UKHUWWAH

بسم الله الرحمن الرحيم 

الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر ولله الحمد

Alhamdulillah, selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad SAW dan setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi nikmat Iman, Islam dan Ehsan sehingga ke hari ini.

Pengorbanan Nabi Ibrahim a.s kepada anaknya Nabi Ismail a.s menjadi iktibar, pedoman dan tauladan buat umat Islam dalam melengkapkan diri dan sentiasa bersedia dengan ujian Allah yang sentiasa menguji keimanan dan kesabaran demi menggapai mardhatillah.

Dilihat dari konteks pengorbanan dalam organisasi seharusnya kita umat Islam bersyukur kerana tidak diuji dengan ujian yang besar seperti Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s dan kita perlu sentiasa mensyukuri akan nikmat yang telah Allah kurniakan dan menghargai akan nikmat ukhuwwah yang telah terjalin dalam memastikan matlamat organisasi berjaya dicapai.

Sempena kedatangan Aidil Adha ini, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri dan sentiasa bersyukur dengan nikmat yang telah Allah berikan kepada kita iaitu apabila KUIS berjaya mencapai sasaran kemasukan pelajar baharu bagi sesi Jun 2019 dan saya berharap agar komitmen ini diteruskan lagi bagi mencapai sasaran utama iaitu menjadikan KUIS sebagai sebuah IPT yang mampu melahirkan Dai’, Ulama dan Umara serta menjadi pemimpin di masa akan datang.Ukhuwwah yang sedia terjalin ini perlu diperkukuh bagi memantapkan lagi kedudukan KUIS sebagai sebuah institusi yang mengamalkan sikap saling bekerjasama dan suka bantu-membantu antara satu sama lain.

Saya juga mendoakan kepada warga kerja KUIS yang pergi menunaikan ibadah haji dan juga kepada semua saudara mara dan sahabat handai kita agar diberikan keselamatan, dipermudahkan urusan dan mendapat haji mabrur.

Pelan Strategik KUIS 2019-2023 telah pun dilancarkan pada 18 Januari 2019. Maka marilah bersama-sama kita menerajui perubahan dari segenap segi sama ada mutu perkhidmatan, mutu kerja dan pencapaian demi membangunkan organisasi yang kita sayangi ini.

Justeru itu setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga KUIS yang sentiasa berjuang dan berkorban untuk mengharumkan nama KUIS. Marilah bersama-sama kita memperkukuhkan tali persaudaraan dan menuju ke arah masa depan KUIS yang lebih hebat dan cemerlang sebagai sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Islam yang berkualiti dan berjaya di masa akan datang.

Salam Aidil Adha 1440 Hijrah daripada saya dan Pengurusan KUIS kepada para mahasiswa, para pensyarah, para pegawai dan seluruh warga KUIS yang diingati lagi dikasihi yang sentiasa berjuang dan berkorban demi Jihad Pendidikan Islam. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati kita. Ameen.


Di Sini Lahirnya... Da'i, Ulama & Umara’

الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر ولله الحمد