Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر ولله الحمد
Marilah kita mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat-NYA dapat kita berjumpa lagi Aidilfitri pada tahun ini, menandakan satu nikmat dan kejayaan yang dikurniakan. Marilah kita sama-sama menginsafi segala ujian dan cabaran yang sedang seluruh rakyat Malaysia dan dunia amnya, dalam menghadapi sebuah lagi cabaran sepanjang sejarah hidup kita iaitu wabak pandemik Covid-19. Pada tahun lalu, semasa wabak ini mula melanda negara, ianya merupakan satu perkara baharu yang mengejutkan dan ramai panik kerana pertama kali mengalami keadaan seperti ini. Walau bagaimanapun, pada tahun ini, saya percaya telah banyak yang kita pelajari dan fahami dalam mendepani pandemik Covid-19 diperingkat nasional dan juga KUIS khususnya, antaranya dengan menambah baik sistem teknologi maklumat, pengurusan krisis dan keupayaan sistem kesihatan negara.
Ambillah peluang Aidilfitri ini untuk kita saling bermaafan dan mengeratkan silaturrahim walaupun suasana yang sangat berbeza kerana kita tidak boleh saling berkunjung dan menziarahi sanak saudara serta rakan taulan seperti kebiasaannya; tidak dapat merentas negeri dan daerah untuk pulang ke kampung halaman untuk berhari raya. Namun, ini bukanlah halangan untuk kita menyambut keberkatan Syawal di samping keluarga yang tercinta. Apa yang penting ialah kita semua meraikan syawal dengan selamat, bersederhana dan mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan. Sambutlah Hari Raya Aidil Fitri dengan penuh kesyukuran bersama ahli keluarga di rumah masing-masing.
Sepurnama Ramadhan hampir berlalu, dikesempatan ini saya ingin memohon maaf di atas segala keterlanjuran, baik dalam pertuturan mahupun perbuatan. Saya dan ahli keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1442H, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh umat Islam, khususnya kumpulan pengurusan, dekan-dekan, pengarah-pengarah pusat, ketua-ketua jabatan, para pensyarah, warga kerja pentadbiran, mahasiswa dan alumni Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.
Dalam kita menyambut lebaran, janganlah kita lupa untuk terus memanjatkan doa dan harapan agar wabak pandemik Covid-19 ini segera hilang dan semoga Allah SWT memberi pertolongan dan perlindungan kesihatan kepada mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19 ini.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.
Ikhlas daripada,
AB. HALIM BIN TAMURI
Rektor KUIS
28 Ramadhan 1422H
10 Mei 2021