ms my en gb ar aa
  Staff Portal      MyPortal      kLMS      COVID-19

SEMANGAT HIJRAH MEMACU KEKUATAN UKHUWAH

Segala pujian hanya bagi Allah SWT yang memberikan kita pelbagai nikmat dan anugerah kurniaan. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, Junjungan Mulia yang telah menggerakkan suatu perubahan yang besar dalam sejarah peradaban manusia dengan risalah agung daripada Ilahi.

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus hidup  pada saat ini. Kini kita menyambut tahun baru 1436 Hijrah maka setahun lagi usia kehidupan kita bertambah. Sesungguhnya nikmat kehidupan yang dikurniakan Allah SWT kepada kita ini wajarlah digunakan untuk meningkatkan amalan dan ketaqwaan sebagai bekalan untuk bertemu dengan Allah SWT.

Dengan kehadiran tahun baru Hijrah 1436H, maka sewajarnya kita memperingati Peristiwa Hijrah yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan ia selari dengan perintah al-Quran  yang  memerintahkan supaya manusia mengambil pengajaran daripada peristiwa yang dilalui oleh umat  yang terdahulu sebagai iktibar dan peringatan untuk semua.
 
Sejarah telah melakarkan bagaimana Rasulullah SAW menanamkan semangat ukhuwah, tolong menolong, pengorbanan,  kecintaan dan ketakwaan di dalam sanubari umat Islam ketika itu iaitu antara golongan Muhajirin dan Ansar. Itulah elemen terpenting bagi umat Islam  dalam membentuk kekuatan di dalam sebuah organisasi.

Persaudaraan itu adalah amanah dan ia suatu tanggungjawab yang perlu disempurnakan.  Dalam konteks Islam, persaudaraan tersebut membawa implikasi di dunia dan akhirat.  Jika persaudaraan itu difahami sebagai amanah, semuanya akan bersedia untuk memenuhi tuntutannya.  Amanah dalam hubungan antara insan pastinya akan menjauhi kata nista dan keji terhadap sesama insan, bersangka buruk  dan  mengadu domba serta menzalimi sesama insan.

Di setiap detik kehidupan kita , selaraskanlah dan mantapkan  semua aktiviti kehidupan kita untuk mencari keredhaan Allah SWT semata-mata. Jika semangat ini dapat dihayati dengan sebaik mungkin, kita  akan sentiasa meneruskan kehidupan  dengan aman dan harmoni.

Bersama membentuk  minda yang positif. Sesuatu yang baik mestilah dimulakan dengan hijrah minda terlebih dahulu kerana setiap perkara yang akan kita lakukan bermula dari minda. Jika kita memiliki minda yang negatif, maka tindakan kita juga akan negatif. Jika kita memiliki minda yang positif, segala perancangan akan lebih mudah direncanakan. Jika kita fikir  KUIS boleh  mencapai status Universiti penuh pada tahun 2016 segala tindakan kita akan menuju ke arah tersebut dan perjuangan akan lebih mantap dan bersinergi.

Buat akhirnya saya bersama Pengurusan KUIS mengucapkan Salam Maal Hijrah 1436H kepada para mahasiswa, para pensyarah, para pegawai dan seluruh warga kerja KUIS, semoga semangat Hijrah mampu memacu kekuatan ukhuwah di antara kita. Nikmat persaudaraan  dan keharmonian yang kita kecapi di KUIS sentiasa disyukuri. HIJRAH ITU INDAH.