HIJRAH SUMBER KEKUATAN UMMAH
“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.“
(HR Bukhari)
Segala pujian hanya bagi Allah SWT yang tidak putus-putus memberikan nikmat dan rahmat kepada kita. Selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang menjadi pelopor perubahan di dalam sejarah peradaban manusia berpandukan wahyu Ilahi.
Selamat menempuh tahun baru 1437 Hijrah. Saban tahun pada 1 Muharram kita selalu membicarakan perihal sejarah penghijrahan Rasulullah SAW daripada pelbagai sudut. Baginda SAW telah menanamkan sifat-sifat persaudaraan, perpaduan, bantu membantu, pengorbanan, kesungguhan, kasih sayang dan ketaqwaan di dalam sanubari umat Islam ketika itu iaitu antara golongan Muhajirin dan Ansar. Itulah unsur-unsur terpenting bagi umat Islam ketika itu sebagai persediaan menghadapi cabaran dan ujian yang datangnya sama ada dari kaum Musyrikin Quraisy, golongan munafik, tipu daya iblis atau dari hawa nafsu mereka sendiri.
Hijrah juga mengajar kita betapa pentingnya bersikap tabah dan berhati cekal sepertimana kaum Muhajirin ketika berhijrah dengan merasai susah payah, penderitaan, kehilangan harta dan keluarga serta penyeksaan merupakan pengajaran yang amat penting dalam membentuk jiwa yang kental kepada generasi muda masa kini. Ketabahan dan kecekalan mereka ini berdasarkan semangat hijrah dan berteraskan niat serta keyakinan bahawa janji kemenangan dan pertolongan Allah s.w.t pasti benar akhirnya berjaya merobek keangkuhan jahiliah dan menjadikan kebatilan tersungkur rebah.
Sesuatu kaum, bangsa atau umat tidak mungkin mampu menerajui dunia dan menjadi contoh kepada kaum atau bangsa yang lain tanpa memiliki kekuatan ilmu pengetahuan. Tambahan pula dengan peredaran zaman, budaya dan ledakan teknologi maklumat pada hari ini begitu pantas memerlukan umat Islam melakukan persediaan dan persiapan yang sewajarnya bagi menghadapi ujian tersebut. KUIS sebagai Institusi Pengajian Tinggi Islam perlu terus mengorak langkah ke hadapan mendepani pelbagai cabaran dan perubahan di dalam usaha untuk membekalkan ilmu dan kemahiran kepada generasi Islam.
Saya bersama Pengurusan KUIS mengucapkan selamat menyambut tahun baru hijrah 1437 kepada semua pensyarah, pelajar dan warga kerja KUIS dengan menjadikan peristiwa hijrah Rasulullah SAW sebagai sumber bekalan dan kekuatan kita bagi memastikan KUIS terus berperanan di dalam menyampaikan dakwah Islamiah dan perjuangan mendidik generasi Islam sentiasa lancar, maju dan efisyen di tengah-tengah arus perubahan dunia.
Di Sini Lahirnya... Da'i, Ulama & Umara’