ms my en gb ar aa
  Staff Portal      MyPortal      kLMS      COVID-19

YBHG. PROFESOR DATO' DR. AB. HALIM BIN TAMURI
REKTOR, KOLEJ UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SELANGOR

MENYANTUNI UMAT MEMBAWA BERKAT

بسم الله الرحمن الرحيم 

Alhamdulillah, kesyukuran yang tidak terhingga kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnianya kita dapat memasuki fasa baru hijrah iaitu tahun baru 1440 hijrah.

Firman Allah Taala yang bermaksud:

Dan, sembahlah Allah swt. dan jangan kamu mempersekutukan sesuatu dengan-Nya; dan berbuat baiklah terhadap kedua orang tua, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan tetangga yang sesanak-saudara dan tetangga yang bukan kerabat, dan handai taulan, dan orang musafir, dan yang dimiliki oleh tangan kananmu. Sesungguhnya, Allat swt. tidak menyukai orang sombong, membanggakan diri. (An-Nisa:36)

Kesantunan dalam Islam adalah apabila kita memberikan layanan yang adil dan saksama kepada semua golongan tidak kira tua atau muda, kaya atau pun miskin. Dari sudut KUIS sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Islam, kesantunan itu adalah dimana semua warganya memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada sesiapa sahaja dari segenap lapisan masyarakat.

Rasulullah SAW telah mempersaudarakan kaum Aus dan Khazraj dan juga Ansar dan Muhajirin di Madinah melalui keperibadian baginda yang berjaya memadamkan api persengketaan yang terbit diantara mereka. Melalui persaudaraan yang terbina suasana aman dan sejahtera telah terbit di Madinah.

Bertemakan “Menyantuni Umat Membawa Berkat” pada tahun ini juga menuntut kita selaku warga KUIS perlu bersedia untuk berubah dan bekerja dengan bersungguh-sungguh dengan memberikan perkhidmatan yang terbaik dan sentiasa bekerja dalam satu pasukan agar matlamat organisasi tercapai di dalam melahirkan Dai’, Ulama dan Umara’.

Rasulullah SAW pernah ditanya Siapakah sebaik-baik seorang Muslim itu, maka jawab baginda: (Mereka) yang memberikan rasa aman kepada saudara Muslim-nya daripada gangguan lisan dan tangannya. (Riwayat Bukhari)

Justeru saya dan Pengurusan KUIS menyeru kepada semua warga KUIS sama ada pensyarah, kakitangan mahupun pelajar supaya sentiasa memberikan komitmen yang padu dalam usaha menerajui perubahan dan menangani apa jua permasalahan yang berlaku.

Marilah sama-sama kita berubah ke arah kebaikan dan menerima perubahan demi kemaslahatan ummah. Keberkatan yang akan kita perolehi tidak hanya pada apa yang kita inginkan akan tetapi apa yang kita lakukan kepada orang lain juga menyumbang kepada keberkatan hidup di dunia ini. Perlu diingat keikhlasan itu penting dalam menyantuni umat agar keberkatan sentiasa mengiringi hidup kita.

Dengan kedatangan tahun baru hijrah ini juga marilah sama-sama kita merapatkan saf dan berazam agar tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya. Tingkatkan keazaman di mana pada tahun hijrah ini kita akan berubah kepada manusia yang lebih baik amalnya, ilmunya, ibadahnya dan ukhuwahnya maka keberkatan itu akan diberikan oleh Allah Taala dari jalan yang tidak disangka-sangka.

Pepatah melayu yang sering kita dengar “Bulat Air Kerana Pembetung, Bulat Manusia Kerana Muafakat” memberikan seribu makna untuk kita memastikan KUIS mampu bertapak dan bertahan demi meneruskan kecemerlangan sebagai institusi pendidikan Islam yang tersohor di Selangor khususnya dan Malaysia amnya. Marilah kita bersama-sama meneraju perubahan demi melihat KUIS semakin cemerlang dan bergemerlapan di masa hadapan untuk generasi akan datang.

Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1440 Hijrah.

KUIS Milik Kita Bersama.

Di Sini Lahirnya... Da'i, Ulama & Umara’