ms my en gb ar aa
  Staff Portal      MyPortal      kLMS      COVID-19

Perutusan Rektor

UMMAH RABBANI NEGARA HARMONI
title bottom center

 

Alhamdulillah, kesyukuran yang tidak terhingga kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnianya kita dapat memasuki fasa baru hijrah iaitu tahun baru 1442 hijrah.

Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Nisa’ ayat 100)

Gagasan Ummah Rabbani menganjurkan umat Islam untuk hidup dalam satu jamaah, bermuafakat, bertoleransi, serta mendokong prinsip kedamaian demi keredhaan Allah swt. Manusia yang dipertanggungjawabkan sebagai khalifah memikul tugas amat berat dalam memakmurkan dunia ini berlandaskan prinsip-prinsip yang telah digariskan dalam Islam. Dalam konteks pendidikan, KUIS sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Islam, sudah tentu matlamatnya mendidik para pelajar menjadi generasi Rabbani.

Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW telah mempersaudarakan kaum Aus dan Khazraj dan juga Ansar dan Muhajirin di Madinah melalui keperibadian baginda yang berjaya memadamkan api persengketaan yang terbit di antara mereka. Melalui persaudaraan yang terbina suasana aman dan sejahtera telah terbit di Madinah melahirkan Ummah yang bersatu padu dan bertakwa kepada Allah swt.

Bertemakan “Ummah Rabbani Negara Harmoni” pada tahun ini juga menuntut kita selaku warga KUIS perlu bersedia untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh dengan memberikan perkhidmatan pendidikan yang terbaik dan sentiasa bekerja dalam satu pasukan agar matlamat organisasi tercapai di dalam melahirkan Dai’, Ulama dan Umara’. Pemikiran atau jiwa rabbani amat penting kepada seseorang pendidik bagi mengukuhkan lagi ilmu yang disampaikan kepada pelajar-pelajarnya. Ini kerana ilmu itu sendiri bersifat rabbani, milik Allah s.w.t. Contoh yang paling tepat ialah bagaimana Rasulullah s.a.w. menerima didikan dan asuhan yang bersifat rabbani sehingga terbentuknya watak rabbaniyah. Kehidupan kita sebagai seorang mukmin yang cemerlang di dunia mahupun di akhirat ialah kehidupan yang berfokuskan kepada pemikiran rabbani, iaitu mencari redha Allah s.w.t. dan Rasulullah s.w.t. dalam setiap aspek kehidupan.

Tindakan meletakkan redha Allah sebagai perkara utama yang akan mempengaruhi pembentukan dan perubahan kendiri setiap manusia dan ini merupakan teras kepada pemikiran Rabbani yang seterusnya mencetuskan watak Rabbani dalam diri dan kehidupan diri, keluarga, masyarakat dan negara secara amnya. Keharmonian masyarakat di dalam sesebuah negara perlu berasaskan kepada semangat kekitaan, kerjasama, saling bantu membantu, faham memahami, toleransi dan mengutamakan kedamaian. Tugas kita adalah tugas dakwah yang mendidik manusia untuk menjadikan generasi Rabbani yang hidup dengan ketakwaan dan kebaikan.

Apa yang pasti, cabaran pasca COVID-19 adalah sangat besar kepada kita semua daripada berbagai sudut kehidupan yang memerlukan kesabaran, komitmen, daya usaha dan kesungguhan daripada kita. Marilah kita bersama-sama berganding bahu sebagai satu keluarga ke arah kebaikan dan perubahan diri demi kemaslahatan diri, keluarga dan ummah. Ayuh kita bangunkan ummah Rabbani melalui sistem pendidikan yang yang bertunjangkan kesepaduan ilmu naqli dan ilmu aqli. Keberkatan yang akan kita perolehi tidak hanya pada apa yang kita inginkan akan tetapi juga kebaikan yang kita lakukan kepada orang lain.

Selamat Menyambut Tahun Baru 1442 Hijrah.

KUIS Milik Kita Bersama.

Di Sini Lahirnya... Dai, Ulama & Umarak

YBhg. Profesor Dato' Dr. Ab. Halim bin Tamuri
Rektor KUIS