GAGASAN RAMADAN MENUJU INSAN BERTAQWA
بسم الله الرحمن الرحيم
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (al-Baqarah:183)
Alhamdulillah, kita panjatkan ke hadrat Allah SWT dengan limpah inayah dan izinNya maka kita dapat memulakan ibadah Ramadan untuk sekalian kalinya pada tahun ini dalam menuju gagasan insan bertaqwa. Marhaban Ya Ramadan. Bagi pihak Pengurusan KUIS , saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat menyambut Ramadan Kareem kepada seluruh warga KUIS dengan satu harapan daripada doa yang sentiasa diulang-ulang agar kita dapat terus menghirupkan lagi udara ibadah di dalam bulan Ramadan.
Ramadan adalah bulan yang sangat indah dan cukup istimewa di hati orang yang beriman. Inilah bulan pendidikan dan bulan peningkatan Iman, bulan mujahadah diri dengan modul latihan yang terbaik bagi melahirkan generasi yang muttaqin dan mempunyai jatidiri yang tinggi bagi berdepan dengan cabaran-cabaran dalam kehidupan sebagai seorang Da’i, Ulama dan Umara.
Bersempena Ramadan 1436H, Jawatankuasa Pengurusan KUIS telah bersetuju membuat perubahan waktu bekerja iaitu mengurangkan setengah jam waktu tamat bekerja dan mengurangkan setengah jam waktu rehat berkuatkuasa pada 1 Ramadan 1436H. Saya menggalakkan warga kerja KUIS memperuntukkan setengah jam awal waktu bekerja dengan membaca al-Quran dan Solat Sunat Dhuha serta disusuli dengan Solat Zohor berjemaah di Masjid Al-Azhar, KUIS.
Marilah kita merebut pakej pahala berganda di bulan ini dengan memperbanyakkan berdoa, membaca Al-Quran, menghadiri majlis ilmu, bekerja dengan produktif, tekun dan amanah serta memperbanyakkan amal ibadah seperti bersedekah melalui sumbangan kepada Masjid Al-Azhar dan Yayasan KUIS yang akan mengendalikan majlis berbuka puasa kepada pelajar-pelajar asnaf KUIS.
Ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga KUIS yang terus berusaha , berjuang dan berkorban untuk mempromosi KUIS sehingga berjaya meningkatkan jumlah pendaftaran pelajar baharu dan bersama kita berdoa semoga KUIS terus berjaya dan dimurahkan rezeki dalam menuju status sebuah Universiti penuh.
Selamat berpuasa dengan penuh keimanan dan ketaqwaan daripada saya dan Pengurusan KUIS kepada para mahasiswa, para pensyarah, para pegawai dan seluruh warga KUIS yang diingati lagi dikasihi yang sentiasa berjuang dan berkorban demi Jihad Pendidikan Islam. Semoga Ramadan tahun ini akan lebih bermakna dan mesra jiwa bagi diri kita berbanding dengan Ramadan yang telah berlalu serta memberi suatu makna pengabdian diri dalam menuju insan bertaqwa.
Di Sini Lahirnya... Da'i, Ulama & Umara’