30 Julai 2013 bersamaan 21 Ramadhan 1434 | Masjid Al-Azhar KUIS
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Alhamdulillahi rabbil'alamin wassalatu wassalam 'ala rasulillai wa 'ala alihi wasahbihi ajma'in.
Ampun Tuanku, beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun…
Patik bagi pihak sekalian yang hadir, merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan D.Y.M.M Tuanku, kerana sudi mencemar duli berangkat hadir bagi menyempurnakan majlis berbuka puasa bersama rakyat, dan penyampaian sumbangan hari raya bagi daerah Hulu Langat pada petang yang penuh barakah ini.
Sesungguhnya keberangkatan D.Y.M.M Tuanku ke majlis ini, amat bermakna bagi patik sekalian, sekaligus menzahirkan keperihatinan Tuanku untuk bersama-sama rakyat jelata terutama warga KUIS dan para mahasiswa untuk berbuka puasa, dan menunaikan solat sunat tarawih. Ini juga tanda betapa Tuanku mengambil berat tentang pembangunan pendidikan umat Islam di negeri ini.
Patik dan sekalian rakyat sentiasa mendoakan agar Allah SWT melimpahkan rahmat dan kesejahteraannya yang tidak terhingga bagi D.Y.M.M Tuanku. Amin ya rabbal a’lamin.
Ampun Tuanku,
Patik juga mohon izin mengalu-alukan kehadiran:
Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah KUIS
Yang Dihormatkan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah KUIS
Yang Amat Mulia Tengku-Tengku
Yad Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor
Yang Berhormat Pimpinan-Pimpinan Kanan dan Exco-Exco Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen dan ADUN
YAD Pengerusi MAIS
Yang Dimuliakan Orang-Orang Besar Istana
Yang Dihormatkan Orang-Orang Besar Daerah
Yang Berusaha Ketua-Ketua Jabatan Peringkat Daerah
Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin
Pengurusan Tertinggi KUIS, Para Pensyarah, Pegawai dan para mahasiswa KUIS.
Seterusnya, para hadirin yang dirahmati Allah SWT sekalian
Ampun Tuanku
Izinkan patik menyembah maklum kebawah D.Y.M.M Tuanku, beberapa perkara mengenai perkembangan dan kemajuan KUIS.
Alhamdulillah dengan izin Allah SWT kini usia KUIS telah menjangkau 18 tahun, sebuah legasi pendidikan D.Y.M.M Tuanku yang sentiasa patik pelihara dan santuni. Sejarahnya bermula pada tahun 1995 di Shah Alam, kemudian pada tahun 2000 di Bandar Seri Putra, menyelusuri perjuangan dalam dunia pendidikan sehingga hari ini, dengan penuh cabaran ke arah kecemerlangan. Matlamat penubuhannya sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam yang menjurus kesinambungan pendidikan Islam di negeri Selangor, dan bersifat memenuhi tanggungjawab ummat menawarkan pengajian dalam pelbagai bidang diperingkat diploma, sarjana muda dan pasca siswazah.
Berpaksikan motto “pemangkin tradisi ilmu”, serta keindahan kampus yang bercirikan senibina sejarah kegemilangan Islam, KUIS telah bergerak secara agresif dan proaktif, bagi mencapai sebuah institusi pendidikan, yang menyediakan program pengajian, yang menepati halatuju pendidikan Islam, dan dasar pendidikan negara yang berkualiti. KUIS mensasarkan jumlah seramai 6,000 mahasiswa pada tahun 2014. Pada masa yang sama, KUIS juga sedang merangka dan berusaha untuk menjadi sebuah universiti Islam dalam tempoh 3 tahun. Usaha ini didokong oleh tenaga pensyarah serta warga kerja yang memiliki sifat sebagai mudarris, mu`allim, muaddib, murabbi, dan mursyid.
Sehubungan itu, KUIS komited, dan terus berusaha memaksimakan program promosi, bagi mencapai sasaran tersebut. Antaranya akan menawarkan program pasca siswazah dalam bidang sarjana, dan doktor falsafah melalui Pusat Pengajian Siswazah, yang akan diaktifkan semula. KUIS membuka tawaran pengambilan setelah mendapat kelulusan dari pihak Malaysian Qualifications Agency(MQA). Ini adalah sebahagian daripada 46 program pengajian yang ditawarkan di KUIS.
Begitu juga rangkaian M.O.U berkaitan dengan pembangunan akademik, dan jaringan ummat di dalam, dan di luar negara akan dijalinkan semula. Ini memperlihatkan bahawa KUIS sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Islam yang sentiasa relevan di peringkat nasional dan antarabangsa. Ini juga bagi memastikan agar KUIS sentiasa mengakar dan merimbun dalam sanubari ummat demi mencapai matlamat rahmatan li al-`alamin, insya Allah.
Besarlah harapan patik dan warga KUIS agar semua agensi kerajaan dan swasta yang bernaung dibawah D.Y.M.M Tuanku di negeri Selangor Darul Ehsan bersedia untuk membantu KUIS menjadi Institusi Pendidikan Tinggi Islam yang tersohor, dan menjadi pilihan utama, khusus untuk rakyat negeri Selangor Darul Ehsan, dan umumnya masyarakat Islam di Malaysia dan di peringkat antarabangsa untuk melanjutkan pengajian mereka.
Ampun Tuanku
Di dalam memperkasakan agenda pendidikan KUIS, masjid Al-Azhar merupakan qalbu dan nadi kepada kecemerlangan ilmu untuk seluruh warga KUIS di samping memelihara hubungan antara Khaliq dan mahkluk, justeru KUIS sentiasa memartabatkan kegemilangan masjid, sebagai tonggak pembangunan insan, dan asas kecemerlangan ilmu, serta lambang kesatuan ummah melalui solat berjemaah yang akan membentuk ikatan kasih sayang dan anyaman ukhuwah fillah. Komitmen ini dibuktikan apabila nazir masjid Al-Azhar telah dilantik sebagai ahli dalam pengurusan tertinggi KUIS.
Ampun Tuanku,
KUIS amat komited melaksanakan dasar ta’dib, untuk menjadikan warga KUIS warga beradab, dengan menunaikan prinsip persekitaran (bi’ah) yang solehah, pembangunan ikilim dini, dan ikutan yang baik (qudwah hasanah), mahasiswa KUIS khususnya akan terus dibangunkan, dan dibimbing melalui program pembangunan sahsiah yang holistik, kecemerlangan akademik dan program khidmat ummah, ke arah melahirkan mahasiswa KUIS yang memiliki akhlak yang terpuji. Seterusnya graduan KUIS yang dilahirkan akan sentiasa berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
Ampun Tuanku,
Sempena bulan Ramadan yang mulia ini patik dengan tulus ikhlas menadah tangan kepada Allah SWT berdoa agar persaudaraan, perpaduan dan kasih sayang di antara warga KUIS dan umat Islam khususnya rakyat dibawah D.Y.M.M Tuanku akan terus diperkasakan dan disuburkan bagi membentuk ummah yang cemerlang dan gemilang yang dapat menutup semua ruang perpecahan, persengketaan dan perbalahan serta dapat menjamin agenda kecemerlangan ummah.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara… (surah al hujurat : 10)
Ampun Tuanku,
Sekali lagi, patik panjatkan setinggi-tingginya kesyukuran kehadrat Allah SWT, kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya maka patik, warga KUIS dan sekalian yang hadir dapat bersama-sama berkumpul pada majlis berbuka puasa D.Y.M.M Tuanku, bersama rakyat di petang yang berbahagia ini.
Buat akhir kata patik ingin mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan, dan syabas serta terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat dan komited bagi menjayakan majlis berbuka puasa di masjid Al-Azhar KUIS.
Ampun Tuanku,
Pada petang ini, D.Y.M.M Tuanku turut berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada anak-anak yatim, fakir, miskin dan saudara baru di daerah ini dan sebahagiannya merupakan mahasiswa KUIS.
Apa yang diharapkan, selepas menerima sumbangan ini nanti, dapat meringankan beban yang ditanggung oleh penerima-penerima tersebut disamping memenuhi hak-hak kepada mereka yang layak.
Ampun Tuanku,
Sebelum menutup bicara, patik sekali lagi menjunjung kasih di atas limpah perkenan D.Y.M.M Tuanku untuk berangkat hadir di majlis yang sangat bermakna ini.
Patik serta sekalian rakyat yang hadir, sentiasa mendoakan kesejahteraan yang berpanjangan, kepada D.Y.M.M Tuanku, dipohon restu memerintah negeri Selangor Darul Ehsan dengan penuh riayah dan inayahNya jua. Dikesempatan ini, patik dan sekelian rakyat negeri Selangor memanjatkan doa, dan memohon keselamatan dan kesejahteraan ke atas
Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al- Haj, puteri-puteri Tuanku, adinda-adinda Tuanku, waris-waris, dan kerabat di raja sekelian sentiasa berada dalam iman dan taqwa, sihat walafiat dengan rezeki yang melimpah ruah serta kesejahteraan kepada para pemimpin dan rakyat sekalian. Amin ya rabbal alamin
Ampun Tuanku,
Sekian sembah ucapan patik,
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.