29 Jun 2015 bersamaan 12 Ramadhan 1436 | Masjid Al-Azhar KUIS
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله و بركاته
الحمد لله رب العالمين و الصلاة و السلام على رسول الله وعلى ءاله وأصحابه أجمعين
Mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj
Ampun Tuanku, beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun…
Patik bagi pihak sekalian yang hadir, merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Duli yang Maha Mulia Tuanku kerana sudi mencemar duli berangkat hadir bagi menyempurnakan majlis berbuka puasa bersama rakyat dan penyampaian sumbangan hari raya bagi daerah hulu langat pada petang yang penuh barakah ini.
Keberangkatan Duli yang Maha Mulia Tuanku, ke majlis ini menunjukkan keperihatinan tuanku untuk bersama-sama rakyat terutama warga KUIS dan para mahasiswa untuk berbuka puasa dan menunaikan solat sunat tarawikh adalah merupakan penghargaan yang amat bermakna kepada patik sekalian, petanda betapa tuanku mengambil berat tentang pendidikan umat islam di negeri ini.
Patik dan sekalian rakyat sentiasa mendoakan agar Allah swt melimpahkan rahmat dan kesejahteraannya yang tidak terhingga bagi Duli yang Maha Mulia Tuanku. Amin ya rabbal a’lamin.
Ampun Tuanku,
Patik mohon izin mengalu-alukan kehadiran:
Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor Merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah KUIS
Yang Dihormatkan Ahli-ahli Lembaga Pengarah KUIS
Yang Amat Mulia Tengku-tengku
Yang Amat Dihormati Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor
Yang Berhormat Pimpinan-pimpinan Kanan Dan Exco-exco Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen Dan Adun
Yang Aamat Dihormati Pengerusi MAIS
Yang Dimuliakan Orang-orang Besar Istana
Yang Dihormatkan Orang-orang Besar Daerah
Yang Berusaha Ketua-ketua Jabatan Peringkat Daerah Dan Negeri
Yang Berbahagia Tan Sri-tan Sri, Puan Sri-puan Sri, Dato’-dato’, Datin-datin
Pengurusan Tertinggi KUIS, Para Pensyarah, Pegawai Dan Mahasiswa KUIS.
Seterusnya, Para Hadirin Yang Dirahmati Allah Swt Sekalian
Ampun Tuanku,
Patik mohon menyembah maklum ke bawah Duli yang Maha Mulia Tuanku beberapa perkara mengenai perkembangan dan kemajuan KUIS.
1) Alhamdulillah dengan izin Allah swt pada tahun ini KUIS genap usianya 20 tahun, matlamat penubuhan sebagai institusi pengajian tinggi islam oleh Majlis Agama Islam Selangor yang bersifat memenuhi tanggungjawab sosial dan ummah telah mengekalkan objektif awal penubuhannya untuk melahirkan lebih ramai tenaga profesional islam yang mampu memimpin masyarakat serta membangun dan mengembangkan ilmu pengetahuan islam.
2) Semenjak penubuhannya, KUIS telah melahirkan 15 ribu graduan daripada pelbagai bidang ilmu yang kini telah berkhidmat kepada masyarakat dalam pelbagai bidang. Ini membuktikan pembangunan modal insan yang digarap oleh Majlis Agama Islam Selangor dan kerajaan negeri Selangor telah memperlihatkan keberhasilannya melalui khidmat yang diberikan oleh para graduan yang dibentuk oleh pendidik KUIS. Dalam pelbagai bidang bermula daripada peringkat asasi, diploma, sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah dengan jumlah keseluruhan program sebanyak 49 program yang mendapat kelulusan MQA.
3) Dua tahun yang lalu, jumlah pelajar semasa KUIS hanya 3450 pelajar , tetapi pada tahun ini jumlah pelajar telah meningkat 100% yang menjadikan jumlah keseluruhan iaitu 7058 orang. Sejak 20 tahun lalu KUIS pertama kalinya dalam sejarah telah tersenarai di tangga yang ke 37 daripada lebih 500 buah universiti awam dan swasta di malaysia.
Ampun Tuanku,
4) Izinkan patik memaklumkan bahawa sesi pengambilan pelajar baharu bagi sesi jun 2015 telah menyaksikan sambutan yang luarbiasa sepanjang sejarah penubuhan KUIS dimana KUIS telah menerima 18 ribu permohonan. Sesi pengambilan pada 3 dan 18 jun 2015 KUIS telah menerima seramai 2400 orang dan insyAllah KUIS dijangka akan menerima 1000 orang pelajar asasi yang akan berdaftar pada 1 julai akan datang. Ini akan menjadikan jumlah semasa pelajar KUIS lebih 8 ribu pelajar.
Ampun Tuanku,
5) Situasi ini telah membuktikan bahawa KUIS telah diterima dan terus relevan dan menjadi pilihan utama di kalangan masyarakat. Hadirnya sudah dirasai oleh setiap umat yang dahagakan ilmu pengetahuan dan peneraju kemajuan generasi akan datang.
6) Patik mengambil kesempatan menjunjung kasih atas sokongan dan harapan Duli yang Maha Mulia Tuanku yang telah memberikan perhatian di dalam pembangunan KUIS sebagai sebuah universiti berkualiti bertepatan dengan titah ucapan Duli yang Maha Mulia Tuanku di istiadat pembukaan persidangan penggal ketiga dewan undangan negeri Selangor.
7) Patik bersama seluruh warga KUIS akan memastikan bahawa KUIS sebagai sebuah legasi Duli yang Maha Mulia Tuanku akan sentiasa disantuni dan dipelihara serta bergerak maju dalam memacu pendidikan ummah khususnya di negeri Selangor darul ehsan yang sesungguhnya dengan ketinggian ilmu dapat meningkat darjat dan ketinggian peradaban agama dan bangsa.
Ampun Tuanku,
8) Dikesempatan ini izinkan patik merakamkan ksyukuran dan terima kasih kepada pembayar-pembayar zakat di negeri Selangor khususnya lembaga zakat Selangor yang telah memperuntukkan dana sebanyak RM12 juta setahun bermula pada tahun 2007, hasil pembayaran zakat ini telah menjadikan KUIS antara universiti yang mengekalkan yuran pengajian sejak 2008 tanpa sebarang kenaikan, pelajar KUIS adalah mereka yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang yang kebanyakan terdiri daripada golongan sederhana dan miskin dari seluruh negara.
9) Seiring dengan peningkatan kutipan zakat sejak 8 tahun lalu dan peningkatan jumlah pelajar di KUIS, patik dengan rendah diri memohon supaya dana ini dapat diteruskan atau ditingkatkan jumlahnya sesuai dengan peningkatan jumlah pelajar yang ada di KUIS pada masa ini.
Ampun Tuanku,
10) Dalam kesempatan ini, patik ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada yang amat berhormat dato menteri besar Selangor, tuan muhamad azmin bin haji ali yang telah meluluskan dana sebanyak rm2 juta untuk pengajian Diploma dan Ijazah Tahfiz Wal Qiraat di KUIS, peruntukan yang diluluskan melalui belanjawan 2015 ini merupakan satu rahmat yang besar yang membawa kepada keberkatan dan kemakmuran kerajaan negeri Selangor.
11) Keyakinan dan harapan Duli yang Maha Mulia Tuanku, Majlis Agama Islam Selangor dan yab dato menteri besar telah menjadi inspirasi dan motivasi buat seluruh warga KUIS untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan pencapaian kecemerlangan akademik serta ketinggian sahsiah dalam mencapai sebuah institusi pengajian tinggi islam yang berkualiti dan memberikan impak yang positif kepada pembangunan ummah.
12) Sokongan dari aspek moral dan material dalam mempersiapkan KUIS kearah universiti penuh dalam tempoh tiga tahun dan sebuah universiti wakaf pertama di negeri Selangor amat di perlukan, bantuan dan sokongan sepenuhnya dari kerajaan negeri Selangor darul ehsan dan Majlis Agama Islam Selangor menjadi contoh kepada pembangunan ummah melalui kemajuan pendidikan pada masa akan datang.
13) Saidina Umar Al Khattab R.A pernah mengungkapkan,
Barangsiapa ingin mengenggam nasib sesuatu bangsa, maka genggamlah para pemudanya
Hakikatnya inilah yang mengambarkan bahawa kehebatan generasi muda yang berilmu mampu menjadi pemangkin perubahan ummah yang sangat memerlukan sentuhan hebat dan dinamik dalam memacu kecemerlangan, bersedia menyongsong masa depan agama, bangsa dan negara ke arah baldatul tayibatun warrabul ghafur.
14) Patik dan seluruh warga kerja KUIS akan berusaha membentuk mahasiswa KUIS melalui program pembangunan yang holistik, kecemerlangan akademik dan program khidmat ummah ke arah melahirkan mahasiswa KUIS sebagai seorang da’i, ulama dan umara.
Ampun Tuanku,
15) Sempena bulan ramadan yang mulia ini patik dengan tulus ikhlas menadah tangan kepada Allah swt berdoa agar persaudaraan, perpaduan dan kasih sayang di antara warga KUIS dan umat islam khususnya rakyat dibawah Duli yang Maha Mulia Tuanku akan terus diperkasakan dan disuburkan bagi membentuk ummah yang cemerlang dan bersatu padu yang dapat menutup semua ruang perpecahan, persengketaan dan perbalahan serta dapat menjamin agenda kecemerlangan ummah dibawah satu aqidah ahli sunnah wal jamaah.
Ampun Tuanku,
16) Sekali lagi, patik panjatkan setinggi-tingginya kesyukuran kehadrat Allah swt kerana dengan izin dan limpah kurnia-nya maka patik, warga KUIS dan sekalian yang hadir dapat bersama-sama berkumpul pada majlis berbuka puasa Duli yang Maha Mulia Tuanku bersama rakyat di petang yang berbahagia ini.
17 Buat akhir kata patik ingin mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada jabatan agama islam negeri Selangor, pejabat daerah dan tanah hulu langat, majlis perbandaran kajang pejabat agama islam daerah hulu langat, jabatan kerja raya , lembaga zakat Selangor dan semua pihak yang terlibat dan komited bagi menjayakan majlis berbuka puasa bersama rakyat dan penyampaian sumbangan hari raya di KUIS.
selain itu ucapan terima kasih di atas sumbangan fidyah oleh lembaga zakat Selangor sebanyak rm130 ribu kepada asnaf yang terdiri daripada pelajar dan staf KUIS.
Ampun Tuanku,
18) Pada petang ini, Duli yang Maha Mulia Tuanku turut berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada mahasiswa KUIS untuk asnaf fakir dan miskin dan saudara baru. Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh penerima disamping memenuhi hak mereka.
Ampun Tuanku,
19) Sebelum mengundur diri, patik sekali lagi menjunjung kasih di atas limpah perkenan Duli yang Maha Mulia Tuanku untuk berangkat hadir di majlis yang sangat bermakna ini.
Patik serta sekalian rakyat yang hadir sentiasa mendoakan kesejahteraan yang berpanjangan kepada Duli yang Maha Mulia Tuanku, dipohon restu memerintah negeri Selangor darul ehsan dengan penuh riayah dan inayahnya, taufiq dan hidayah.
20) Dikesempatan ini, patik dan sekelian rakyat negeri Selangor memanjatkan doa dan memohon keselamatan dan kesejahteraan ke atas duli yang teramat mulia raja muda Selangor, tengku amir shah ibni sultan sharafuddin idris shah al- haj, puteri-puteri tuanku, adinda-adinda tuanku, waris-waris, dan kerabat di raja sekelian sentiasa berada dalam iman dan taqwa, sihat walafiat dengan rezeki yang melimpah ruah serta kesejahteraan kepada para pemimpin dan rakyat sekalian. Amin ya rabbal alamin…
Ampun Tuanku,
Sekian sembah ucapan patik,
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.