Bersyukur saya kehadrat Allah SWT kerana dengan nikmat dan rahmat-Nya kita telah dipanjangkan usia untuk berbakti sebagai khalifah dan hamba-Nya di dunia ini. Kita bertawakal semoga segala usaha kita sepanjang 2013 diterima sebagai amal saleh dan mendapat keredhaan dari Allah SWT. Mudah-mudahan kerja amal yang bakal kita curahkan pada tahun 2014 ini akan mendapat naungan dari Allah SWT untuk kita kerja dengan lebih efektif semata-mata mengharap keredhaan-Nya.
KUIS telah menjangkau usia 19 tahun operasinya dan dalam tempoh tersebut KUIS telah berjaya membangunkan 5 program Asasi, 23 program Diploma, 18 program Sarjana Muda, 2 program Sarjana dan 1 program PhD yang kesemuanya telah mendapat pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Seramai lebih 11,000 graduan telah dikeluarkan di mana ia telah menyumbang kepada pembangunan modal insan seluruh negara dan juga antarabangsa. Kini KUIS mempunyai seramai 4,488 orang pelajar berbanding hanya 68 orang di awal penubuhannya pada tahun 1995. KUIS akan terus mengorak langkah mensasarkan peningkatan bilangan pelajar seramai 6,000 orang dalam tahun 2014.
Insya-Allah tahun 2014 kita bertekad dengan anjakan yang padu dan penuh bersemangat bagi memastikan KUIS releven untuk melahirkan generasi Da'i, Ulama dan Umara'. KUIS telah mensasarkan satu cabaran untuk menjadi sebuah universiti penuh pada tahun 2016 yang setanding dengan IPT-IPT bertaraf universiti di dalam dan luar negara.
Oleh itu, saya mengajak seluruh warga KUIS yang terdiri daripada barisan pengurusan, pegawai-pegawai pentadbiran dan akademik dan para pelajar bersama-sama memastikan matlamat ini akan menjadi realiti. Kejayaan ini terletak kepada kita semua selaku penggerak sehingga tertubuhnya sebuah universiti penuh yang kita semua idamkan. Kita tidak punyai banyak masa lagi, oleh itu kita perlu berusaha bersungguh-sungguh mulai sekarang dalam usaha mencapai hasrat murni ini.
Akhir kata saya mengambil kesempatan ini merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh warga yang telah bersama-sama menggembleng tenaga serta mencurah bakti dalam tahun 2013. Kita doakan agar tahun 2014 ini akan mencorakkan sinergi baru kepada kita semua untuk menambah lagi momentum amal serta usaha kita bagi meletakkan KUIS pada persada kegemilangan. Selamat Tahun Baru 2014.
Di Sini Lahirnya... Da'i, Ulama & Umara’