ms my en gb ar aa
  Staff Portal      MyPortal      kLMS      COVID-19

Perutusan Rektor

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah s.w.t. Tuhan sekalian alam yang telah memberikan nikmat dan rahmat kepada kita, serta selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang menjadi penyatu ummat manusia sehingga akhir zaman.

Pada tahun 2020, umat manusia seluruh dunia berdepan dengan ujian besar berikutan penularan wabak Covid-19 yang menyebabkan pelbagai perkara dalam rutin seharian berubah. Bermula dengan penekanan terhadap penjagaan kebersihan sehingga ke Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasakan oleh kebanyakan negara di dunia termasuk Malaysia.

Sepanjang PKP dilaksanakan, banyak sektor perkhidmatan yang terkesan dan ditutup termasuk perkhidmatan pendidikan di mana semua institusi berkaitan pendidikan perlu beroperasi dengan kaedah berbeza bagi memastikan matlamat dan agenda pendidikan dapat dilestarikan. Institusi pendidikan termasuk KUIS mula melaksanakan pembelajaran dan latihan secara dalam talian, pengurusan dan pentadbiran juga kebanyakannya dilakukan dari rumah, pengubahsuaian modul pembelajaran mengikut kesesuaian perubahan penyampaian dan banyak lagi.

Krisis pandemik COVID-19 dan PKP yang dihadapi telah membawa kepada peningkatan kompetensi penggunaan komunikasi terkini secara tidak langsung dalam kalangan warga organisasi. Justeru, warga KUIS perlu bersedia dan berupaya untuk bertindak balas secara pantas terhadap keadaan dan jangkaan yang berubah-ubah iaitu fleksibel dalam melaksanakan tugasan terutamanya penguasaan dalam menggunakan aplikasi digital yang telah menjadi tren masa kini. Pembelajaran Teradun Blended Learning kini dilihat sebagai alternatif utama dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar-pelajar.

Sehubungan itu, tahun 2021 ini, kita seluruh warga KUIS perlu bersama-sama mengembleng tenaga dan usaha menghadapi norma baharu dalam perkhidmatan pendidikan iaitu dengan meningkatkan kualiti pendidikan, jumlah pelajar sama ada secara bersemuka atau secara dalam talian, pemerkasaan kaedah baharu Pengajaran & Pembelajaran dan perkhidmatan sokongan universiti yang lebih kreatif dan berinovasi. Kita akan meningkatkan lagi jumlah pelajar diperingkat sarjana muda, sarjana dan PhD. KUIS juga kini sedang meneroka bidang-bidang TVET yang bersesuaian dengan program-program yang ada untuk ditawarkan kepada pelajar-pelajar pada masa akan datang. Pada tahun 2021, kita akan memberikan tumpuan kepada aspek penyelidikan berimpak tinggi bersama industri, agensi swasta dan kerajaan. Peningkatan kuantiiti dan kualiti penerbitan dalam jurnal-jurnal berimpak, buku, laporan dasar, inovasi dan paten perlu diberikan perhatian oleh semua tenaga akademik bersama-sama dengan keperluan melaksanakan tugas hakiki dalam pengajaran dan penyeliaan.

Penaiktarafan KUIS ke status Universiti Penuh menjadi matlamat utama untuk tahun 2021 walaupun ianya tertangguh pada tahun 2020 disebabkan krisis pandemik Covid-19. Apa yang penting adalah komitmen semua ahli akademik, pegawai dan kakitangan KUIS sangat diperlukan untuk memastikan kejayaan KUIS pada masa hadapan yang lebih gemilang. Hasrat utama yang lain ialah untuk memulakan gerak kerja secara aktif menjadikan KUIS sebagai wakaf universiti dalam tempoh 5 tahun. Pelan Strategik Wakaf Universiti yang telah diluluskan akan dijadikan asas dan panduan dalam melaksanakan agenda wakaf universiti bersama dengan agenda menaiktaraf KUIS menjadi universiti penuh. Cabaran pasca Covid-19 adalah aspek yang perlu ditanggani bersama bagi menjayakan hasrat dan cita-cita murni kita bersama. Kualiti pengurusan dan perkhidmatan pelanggan akan sama-sama kita tingkatkan dalam usaha kita memberikan perkhidmatan terbaik dan cemerlang kepada seluruh warga KUIS.

Walau apa juga ujian yang melanda kehidupan sepanjang tempoh ini atau mungkin pada masa depan, Allah SWT ingin mengajar kita semua mengenai sesuatu dan setiap apa yang berlaku pasti mempunyai hikmah daripada Yang Esa serta mengingatkan kita di dalam Surah Al-Mulk ayat 2 bahawa setiap manusia pasti diuji untuk melihat kualiti amalan yang dikerjakannya.

Firman Allah bermaksud: “Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).”

Justeru, kita seluruh warga KUIS bermula dari pengurusan tertinggi, semua ahli akademik, pegawai, kakitangan, pelajar dan seluruh warga kerja KUIS agar terus berusaha dan bersama-sama berdoa dan bermunajat kepada Allah swt agar kita sentiasa dimurahkan rezeki, dilindungi daripada sebarang keburukan, direalisasikan semua perancangan dan dipermudahkan segala urusan.

Selamat menyambut tahun baharu 2021 Masihi.

KUIS Milik Kita Bersama

KUIS Peneraju Tradisi Ilmu

YBhg. Prof Dato’ Dr. Ab. Halim bin Tamuri
Rektor KUIS