X

Akibat Guna Telefon Bimbit Sambil Memandu

Kemalangan Jalanraya Berpunca dari Penggunaan Telefon Bimbit Sambil Memandu.

Kemalangan akibat kecuaian pengguna telefon bimbit semasa memandu sering diperkatakan. Menurut satu berita akhbar Sinar Online pada 13 November, 2017 melaporkan satu kajian kajian yang dilakukan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendedahkan, 43.4 peratus pengguna jalan raya menggunakan telefon bimbit ketika memandu kereta dan menunggang motosikal sehingga mendorong berlakunya nahas. Enam bulan sebelum itu, sebanyak 35 peratus kemalangan dari punca yang sama telah di laporkan oleh akhbar yang sama. Peningkatan peratus kemalangan dalam masa kurang dari setengah tahun ini amat membimbangkan.

Penulis berpendapat setiap pengguna telefon bimbit di Malaysia perlu diberi pengetahuan mengenai punca-punca kemalangan supaya pengguna jalan raya sedar serta insaf. Kemalangan yang berlaku boleh mencabut nyawa kita sendiri serta orang tersayang.

Kajian yang dijalankan oleh David Stayer dari University of Utah pula mendapati bahawa risiko kemalangan bertambah sebanyak empat kali ganda akibat bercakap melalui telefon bimbit. Keadaan boleh bertukar menjadi lebih serius apabila pemandu membalas mesej (teks) sambil memandu. Ianya meningkatkan resiko kemalangan sebanyak lapan kali ganda.

Menurut satu laporan akhbar dalam talian, memandu sambil mengguna telefon bimbit mempunyai kesan sama seperti memandu dalam keadaan mabuk.

Berikut adalah gangguan-ganguan yang dialami pemandu semasa menggunakan telefon bimbit semasa memandu tanpa menggunakan alatan bebas tangan;

  1. Gangguan Manual Pemandu mengalami gangguan manual apabila pemandu menjawab panggilan atau menekan butang untuk mengaktifkan aplikasi mobil sambil memandu. Mengalihkan tangan dari setereng walau pun hanya beberapa saat boleh mengakibatkan kemalangan.
  2. Gangguan Visual Ganguan visual berlaku semasa pemandu mengalihkan pandangan dari jalanraya untuk mengaktifkan mana-mana aplikasi mobil. Perbuatan mengalihkan pandangan ke jalan raya mengakibatkan pemandu hilang fokus.
  3. Gangguan Kognitif Berbual dalam talian memang menyeronokkan. Ganguan kognitif berlaku apabila pemandu mula berhayal atau berangan sambil berbual. Pemandu mungkin berangan atau berhayal mengenai percutian di Istanbul.

Peningkatan peratusan kemalangan ini tidak boleh dipandang remeh oleh pengguna jalanraya. Apakah tindakan yang perlu diambil oleh kita sebagai pengguna? Sebagai pengguna kita perlu membantu negara mengurangkan peratusan kemalangan.

Sehubungan itu, maklumat mengenai bahayanya menggunakan telefon bimbit semasa memandu wajib diadakan peringkat awal di rumah. Setelah itu penerapan juga perlu disambung di peringkat sekolah.

Ibubapa sebagai pengguna perlu memberi contoh tauladan yang baik; iaitu tidak menggunakan telefon semasa memandu. Mereka meningkatkan pengetahuan mengenai kebaikan serta keburukan penggunaan telefon. Proses penerapan kesedaran tentang bahayanya menggunakan telefon bimbit sambil memandu perlu dilakukan secara berperingkat bermula dari usia kanak-kanak kemudian remaja dan sehingga dewasa.

Tindakan yang paling drastik yang dicadangkan oleh penulis Yu Kin Len dari Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna. Rencana beliau Haramkan Penggunaan Telefon Bimbit Ketika Memandu yang diterbitkan dalam Konsumer Kini, 29 Mac, 2011.

Pengharaman penggunaan telefon ketika memandu adalah wajar dan pemandu kenderaan wajib mematuhi undang-undang yang telah dikuatkuasakan. Satu denda yang berat perlu dikenakan untuk menghentikan amalan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

Denda yang berat bukan untuk membebankan pemandu tetapi ianya boleh menyedarkan pemandu agar tidak langsung memegang telefon bimbit semasa memandu. Semoga kadar kemalangan akibat dari kecuaian pemandu yang memandu sambil menggunakan telefon bimbit dapat dikurangkan dengan kadar segera.


Penulis: HANIZA OTHMAN
Pensyarah Jabatan Multimedia
Fakulti Teknologi & Sains Maklumat KUIS

Khirulnizam Abd Rahman: Sila hubungi kami di m.me/kuis.fstm atau WhatsApp 0129034614

Comments are closed.