X
    Categories: animasi

Bahaya Parodi Adegan Tidak Senonoh Dalam Kartun Animasi Tempatan!

PENGENALAN

Video parodi merupakan hasil karya berbentuk video yang meniru video asal dengan cara yang melucukan atau menyindir. Video parodi biasanya akan menjadi tular apabila dikaitkan dengan isu-isu semasa yang sedang panas dibincangkan, filem yang box office termasuklah kartun animasi.

BAHAYA PARODI KARTUN

Kini terdapat video-video parodi kartun yang menampilkan siri kartun tempatan yang telah diedit dengan adegan-adegan dan watak yang tidak senonoh, tidak sesuai untuk tontonan umum khususnya kepada golongan kanak-kanak di Malaysia. Video parodi kartun ini boleh didapati dengan mudah dengan mudah menerusi saluran media sosial seperti Youtube, Instagram dan lain-lain. Peranti yang biasa  digunakan oleh penonton adalah gajet-gajet seperti iPad, tablet, telefon pintar dan komputer. Upin Ipin adalah satu contoh kartun animasi tempatan yang telah  menjadi mangsa parodi video kartun tidak senonoh di media sosial. Ini amat membimbangkan kerana bukan sahaja mencemarkan dan memalukan hasil karya kreatif dan nama baik produksi kartun animasi tempatan, malahan membawa keburukan kepada penonton seperti kanak-kanak yang masih mentah untuk menilai mana yang baik dan mana yang buruk.

PERANAN IBU BAPA MEMANTAU TONTONAN ANAK-ANAK

Ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam memantau apa yang ditonton oleh anak-anak mereka. Masa tontonan dan penggunaan gajet perlu dikawal agar kanak-kanak mempunyai had dan limitasi. Kanak-kanak belajar dari apa yang dilihat dan didengar.   Sekiranya tiada kawalan daripada ibu bapa atau penjaga, dikhuatiri video parodi kartun tidak senonoh yang ditonton akan memberi kesan terhadap pemikiran, sahsiah, bahasa dan perilaku kanak-kanak. Ibu bapa bertanggungkawab untuk menilai kesesuaian watak, budaya dan elemen lain dari sudut pembangunan sahsiah dan jati diri anak-anak mereka.

Kajian dilakukan di Amerika Syarikat (AS) mendapati semua jenis animasi adalah faktor utama dalam pembentukan jati diri atau personaliti kanak-kanak di negara tersebut yang mana personaliti adalah antara elemen penting sebagai pengiktirafan terhadap kewujudan dan kehebatan sesuatu bangsa dan mencerminkan nilai dibawa oleh bangsa tersebut. Rancangan animasi memberi kesan ke atas gelagat dan sikap kanak-kanak seperti cara berkomunikasi, bahasa, adab dan tingkah laku dan cara berpakaian.

PANTAUAN DAN PENAPISAN AGENSI KERAJAAN

Di Malaysia, industri kartun animasi dipantau oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).   Suatu masa dulu, kandungan kartun atau filem di Malaysia dipantau oleh Lembaga Penapis Filem (LPF) yang bertanggungjawab menapis adegan-adegan serta kandungan yang tidak sesuai ditayangkan kepada penonton di Malaysia.

Sejak tahun 2012, LPF tidak lagi menapis filem sebelum ditayangkan. Sebaliknya, peranan telah diserahkan kepada penerbit atau pengarah filem itu sendiri. Sekiranya ada isu atau masalah berbangkit mengenai sesebuah filem yang ditayangkan, pihak penerbit atau pengarah yang perlu dipertanggungjawabkan.  Capaian Internet, mengawal selia penyiaran dan aktiviti dalam talian pula dipantau oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).   Kerjasama antara ketiga-tiga agensi kerajaan ini amat diperlukan dalam menangani masalah ini.

PENUTUP

Dalam membendung tayangan video parodi kartun yang tidak senonoh ini, ibu bapa yang memainkan peranan besar. Video sedemikian perlu disekat saluran pada gajet-gajet yang sering digunakan oleh kanak-kanak dan melaporkan kepada pembekal kandungan.  Jika tidak ditangani segera, dikhuatiri masalah ini akan membawa kepada keruntuhan akhlak dan moral di kalangan masyarakat khususnya kanak-kanak.

 


Penulis:  Asrina Suriani Bt. Md. Yunus
Pensyarah Jabatan Sains Komputer,
Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat,
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Khirulnizam Abd Rahman: Sila hubungi kami di m.me/kuis.fstm atau WhatsApp 0129034614

Comments are closed.