X
    Categories: moral

Gajet vs kanak-kanak

Penggunaan gajet membabitkan kanak-kanak dan remaja harus diperhatikan semula. Kajian Tanda Aras Kesedaran Keselamatan Siber yang dijalankan oleh CyberSecurity dan Kementerian Pendidikan pada 2016 mendedahkan lebih 90 peratus kanak-kanak dan remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun adalah pengguna internet yang tegar. Permasalahan yang dihadapi disokong Kajian Statistik Internet Dunia yang mendedahkan  hampir 80 peratus pengguna internet di negara ini, terutama kanak-kanak mengalami ketagihan serius.

 

PUNCA

Ketagihan gajet kepada kanak-kanak berlaku seawal usia beberapa bulan selepas dilahirkan. Ini kerana ibu bapa yang berkerjaya masa kini telah menjadikan gajet sebagai alat pengganti kepada ibu bapa atau masa yang tidak dapat diluangkan oleh mereka. Ibu bapa juga menjadikan gajet sebagai hadiah dan ganjaran kerana anak-anak mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan, sukan, kelab dan persatuan. Ibu bapa juga menjadikan gajet sebagai hadiah untuk menggembirakan hati anak-anak dengan memasukkan aplikasi permainan dan lain-lain applikasi yang disukai oleh kanak-kanak masa kini.

 

KESAN SAMPINGAN

Beberapa kesan sampingan kepada kanak-kanak apabila didedahkan dengan gajet pada usia muda adalah seperti berikut:

  1. Sukar tidur – cahaya yang dikeluarkan oleh gajet iaitu blue light yang menyerupai cahaya siang hari mengirimkan isyarat pada otak dan membingungkan tubuh manusia. Ini menyebabkan anak sukar tidur apabila menggunakan gajet pada waktu malam.
  2. Gangguan pada mata – penggunaan gajet yang terlalu lama akan menyebabkan mata jadi suram, kering dan kerap sakit kepala. Sekiranya didedahkan dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan mata menjadi rabun.
  3. Kurang bersosial – Kanak-kanak yang terdedah dengan gajet dalam tempoh yang lama akan lebih suka berkurung di dalam rumah dan tidak suka bermain dengan rakan sebaya pada masa lapang. Kanak-kanak juga menjadi ketagih menggunakan internet hingga ada di antara mereka yang tidak mahu mandi, makan dan minum.

 

PENYELESAIAN

  1. Ibu bapa perlu mengetahui dan memantau aplikasi atau laman web yang dilayari oleh anak-anak untuk mengelakkan mereka melayari laman web lucah atau web yang tidak sesuai dengan usia mereka.
  2. Ibu bapa harus meluangkan masa yang berkualiti dengan anak-anak walaupun hanya sejam atau dua jam sehari. Luangkan masa yang berkualiti tersebut dengan mendengar cerita anak-anak di sekolah, makan malam bersama, bermain permainan bersama-sama dengan anak seperti karom, dam atau badminton atau membawa mereka ke tempat yang disukai seperti padang permainan.
  3. Ibu bapa seharusnya mengenepikan semua gajet apabila pulang ke rumah setelah seharian bertugas di pejabat. Ibu bapa perlu meluangkan masa sebanyak mungkin dengan anak-anak. Ibu bapa perlu menjadi pendengar yang setia kepada cerita anak-anak walaupun sibuk menguruskan rumah tangga.

Oleh itu, ibu bapa masa kini perlu bijak sebelum membuat sesuatu keputusan untuk kebaikan anak-anak pada masa hadapan.

 

Oleh Pn Rusmiha Othman
Penulis adalah pegawai di Bahagian Pemasaran dan Komunikasi
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)
rusmiha@kuis.edu.my

Khirulnizam Abd Rahman: Sila hubungi kami di m.me/kuis.fstm atau WhatsApp 0129034614

Comments are closed.