Cuba berlaku jujur dengan diri anda. Pernah atau tidak anak atau pasangan anda merungut tentang mata anda yang sentiasa menghadap telefon pintar? Atau juga perbalahan kecil berlaku hanya disebabkan anda begitu fokus kepada telefon pintar anda? Sejurus tiba ke rumah selepas seharian bekerja anda masih tercari-cari telefon anda? Jika ya, anda adalah seorang ‘phubber’ tegar.
Tindakan anda digelar sebagai ‘phubbing’ terhadap keluarga. Ia adalah tindakan anda tidak mempedulikan keluarga anda sebaliknya anda bertumpu kepada gajet lebih daripada komunikasi bersama keluarga anda. Terdapat banyak kesan buruk ‘phubbing’ terhadap persekitaran anda. Paling menyedihkan ia terkesan kepada pasangan dan anak-anak iaitu lebih kurang 46.3% dan 22.6% menyebabkan konflik keluarga (sumber Partner Phubbing Scale).
Artikel ini memfokus kepada cara penulis guna untuk berhenti ‘phubbing’ terhadap keluarga dengan berkesan. Tips yang digunakan ini adalah hasil eksperimen dan kaedah paksa-rela di kalangan keluarga terdekat.
Langkah satu: Fikirkan perkara atau benda paling penting dalam hidup anda. Anak-anak dan pasangan memerlukan ‘eye contact’ untuk membentuk empati dan keyakinan diri. Jika sekalipun anda bersama anak anda selama 5 ke 6 jam sehari tetapi kebanyakan masa bertumpu kepada membalas mesej, mengemaskini status di Facebook atau Instagram atau juga menonton video berdurasi pendek di YouTube anda sebenarnya tidak langsung meluangkan masa bersama psangan dan anak-anak anda. Malah, anda memberi contoh kepada pasangan dan anak-anak anda dan tidak mustahil mereka akan melakukan tindakan sama seperti anda.
Langkah dua: Wujudkan peraturan ketat. Wujudkan peraturan tiada gajet ketika makan. Di sinilah peluang berhubungan dan berkomunikasi dengan keluarga secara berkualiti. Ketika ini, pelbagai topik boleh dibincangkan bersama anak-anak dan pasangan kerana pada ketika inilah maklumbalas atau komunikasi dua hala berlaku dengan sangat baik.
Peraturan keluar bersiar atau berziarah seisi keluarga juga harus dititikberatkan. Contohnya seperti jika ada jemputan kenduri perkahwinan, maka kerahlah anak-anak anda untuk ikut serta walaupun mungkin mereka agak meragam apabila kita minta mereka berhenti daripada bermain gajet. Juga apabila adanya sesi berkumpul bersama keluarga.
Amalan berborak dan beramah mesra bersama sepupu, pakcik dan makcik hampir tidak semeriah pada ketika tiada gajet suatu ketika dahulu. Anda boleh nyatakan kebaikan apabila memenuhi undangan dan berziarah sekaligus ini telah memenuhi tuntutan sunnah Rasulullah saw. Tabiat ini akan disemat kemas di hati anak-anak apabila mereka dewasa kelak dan ia akan disalurkan ke generasi seterusnya.
Sebuah keluarga tentu memerlukan masa untuk pembersihan rumah. Tegaskan dalam keluarga anda bahawa kerja pembersihan rumah bukan tugas ibu atau isteri semata, namun ia adalah tanggugjawab setiap ahli dalam keluarga itu. Seorang ibu boleh beri tugasan sesuai dengan kemampuan ahli keluarga dan nyatakan cara untuk melakukannya. Sekurang-kurangnya masa pasangan dan anak-anak terisi dengan sesuatu yang berfaedah untuk seisi rumah berbanding menghadap gajet yang tidak menghasilkan apa-apa.
Langkah tiga: Penetapan masa atau peraturan khas Terdapat beberapa aplikasi percuma dan berbayar untuk anda gunakan bagi memantau anak-anak semasa penggunaan telefon atau gajet. Aplikasi telefon untuk menjejaki penggunaan gajet diri sendiri juga ada di pasaran bagi membantu anda mengawal penggunaan telefon dan gajet. Namun, disiplin diri sendiri adalah pemantau terbaik dalam kawalan penggunaan gajet. Adalah mustahil untuk mengelakkan anak-anak daripada tidak bermain gajet langsung.
Namun sebagai ibu bapa kita boleh beri penetapan masa yang sesuai untuk mereka bermain gajet seperti di hari minggu sahaja selama 2 hingga 4 jam sehari. Anak-anak juga perlu diingatkan untuk merehatkan mata dan perlu menggerakkan keseluruhan badan setiap setengah jam sekurang-kurangnya bagi mengelakkan kemudaratan fizikal mereka. Wujudkan masa khas anda bersama pasangan anda seperti makan malam bersama di luar atau bersiar-siar bersama tanpa telefon pintar. Ini akan mencuri masa anda dengan menghasilkan satu komunikasi dan perhatian berkesan bersama pasangan. Perhatian terhadap pasangan ini dapat mengelakkan daripada rungutan pasangan anda setiap kali anda menghadap telefon atau gajet.
Kesimpulan
Memori adalah lebih bermakna berbanding gangguan material seperti telefon pintar dan gajet. Itulah antara tips yang digunakan penulis untuk mengelakkan diri sendiri dan keluarga dari menjadi seorang ‘phubber’ tegar. Nampak seperti isu yang kecil namun jika dibiarkan ia akan melarat dan mungkin merosakkan hubungan kekeluargaan sebuah keluarga. Kehidupan adalah lebih baik tanpa ‘phubbing’.
Rafiza Binti Kasbun
Pensyarah di Jabatan Multimedia,
Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat,
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor