Seorang yang positif akan mempunyai hati yang tenang dan fikiran yang tajam. Artikel ini berkongsi antara cara bagaimana menjadi seorang Muslim yang positif.


Pertama – Tetapkan niat atau objektif.

Sebelum anda lakukan sesuatu perkara, set atau tetapkan objektif. Sudah semestinya niat yang murni-murni sahaja, dan kerana Allah taa’la. Anggarkan juga masa yang anda mungkin perlu untuk perkara itu.

Contohnya, sebelum anda ke majlis kenduri kahwin rakan anda, tetapkanlah niat anda adalah untuk mengeratkan silaturrahim atau mahu meraikan rakan yang mendirikan masjid. Bukan mahu makan. Jadi, sekiranya apabila anda sampai ada makanan yang habis atau kurang sedap, anda tidak akan kecewa.

Menganggar masa akan mengajar anda menepati masa dan fokus kepada perkara itu.

Kedua – Tapis apa yang anda lihat, baca dan dengar.

Apa yang anda lihat dan dengar adalah tanggungjawab anda. Lihat, baca dan dengar perkara yang baik-baik sahaja. Contohnya, ketika anda melayari fb, anda boleh memilih pautan sekadar dengan membaca tajuk sahaja. Kliklah pautan yang mungkin memberi motivasi dan tinggalkan berita picisan seperti “Artis bercerai kali ke-3”. Tinggalkan juga gambar-gambar negetif termasuk gambar kemalangan, gambar tidak menutup aurat dan mungkin gambar produk iklan yang melebih-lebih.

Ketiga – Banyakkan solat.

Bersujud kepada Allah akan membantu anda fokus kepada diri anda dan redha Allah. Lebih banyak anda solat dan sujud, lebih baik minda anda untuk fokus. Anda akan kurang memikirkan pandangan manusia dan kelemahan, kesilapan orang lain.

Keempat – Baca Al-Quran dan bertadabbur.

Kenikmatan membaca Al Quran tidak akan anda rasai sekiranya anda membaca terburu-buru dan niat yang salah. Bacalah dengan niat dan doa semoga kalam Allah itu dapat memberi hikmah dan jalan. Oleh kerana itu, bacalah Al-Quran dan bertadabbur dengan isinya.

Kelima – Bergaul dan cari kawan-kawan yang baik.

Rapatkan diri dengan orang-orang yang hebat. Orang yang menjaga solat, yang berakhlak mulia atau orang berilmu. Orang yang baik ialah yang dapat memberi nasihat yang benar dan memberi motivasi kepada kita untuk kekal menjadi lebih baik.

Keenam – Menjaga perut.

Makanlah makanan yang berkhasiat dan halal. Makan secara sederhana(tidak terlalu banyak) dan berjadual. Apa yang anda makan dan minum akan mempengaruhi minda dan jasmani.

Ketujuh – Banyakkan zikir, selawat dan jangan berhenti berdoa.

Allah menciptakan manusia yang ada angan-angan dan imaginasi. Tidak salah merancang dan bercita-cita. Pandulah angan-angan dengan zikir, istighfar, selawat dan doa.
.
Jangan berputus asa untuk jadi orang yang positif. Orang yang tajam fikirannya dan baik hatinya.