MERHABA! (baca: ‘e’ epal)

Perjalanan 8 pelajar dari FSTM selama 4 bulan di bumi Turki merupakan pengalaman yang sangat mengujakan dan pasti akan diingati sampai bila-bila. Program Pertukaran Pelajar Mevlana yang mengambil masa selama 4 bulan, bermula dari Februari 2018 sehingga Mei 2018 ini bertempat di Universiti Sakarya, Turki. Mungkin ramai yang tak pernah dengar nama Sakarya kerana ia tidak se’popular’ Istanbul dan Capadoccia, tetapi negeri yang telah kami diami selama 4 bulan itu tidak mudah untuk kami lupakan dan akan tersemat kemas di dalam hati kami, bahkan pasti akan menjadi bahan diskusi bersama anak cucu nanti.

Kalau nak diceritakan pengalaman, memang terlalu banyak yang telah kami lalui sepanjang berada di sana. Tetapi, percayalah pengalaman pahit dan manis tersebut telah berjaya membawa kami ke suatu tahap yang lain dan membuka mata setiap dari kami untuk lebih bermotivasi dalam setiap perkara yang ingin dilakukan di dalam hidup ini.

Bertolak pada 1 Februari 2018 dan pulang pada 1 Jun 2018. Tempoh yang mungkin nampak pendek tetapi penuh dengan perkara yang mencabar dan tidak terjangkau dek akal fikiran, ibarat drama bersiri! Cabaran utama untuk kami semua adalah masalah komunikasi antara kami dengan penduduk di sana. Kebanyakan daripada mereka hanya bertutur dalam bahasa Turki dan terlalu sedikit yang boleh berbahasa Inggeris. Percaya atau tidak, kami banyak bergantung dengan Google Translate dan bahasa isyarat walaupun kami sudah belajar basic bahasa Turki. Jika ingin membuat pesanan di kedai makan atau bertanya arah jalan, tidak menjadi masalah tetapi perbualan kami setakat itu sahaja lah. Dan ya, kini kami lebih mahir menggunakan bahasa isyarat.

bersama pelajar pertukaran dari UIA & USIM serta pelajar tetap Universiti Sakarya

 

CUACA DI TURKI

Berkenaan dengan cuaca di sana, kami dapat merasa musim sejuk selama 2 bulan dan bulan seterusnya adalah musim bunga. Mulanya, agak sukar bagi kami untuk ‘masuk’ dengan cuaca sebegitu, tapi lama kelamaan kami berasa sangat seronok dan bersyukur kerana kami berpeluang merasai cuaca selain dari panas dan lembab. Minggu kedua di sana, kami dibawa oleh pihak pengurusan Mevlana untuk menjalani orientasi di Kartepe. Kartepe merupakan tempat yang popular untuk bermain salji dan ski. Ini merupakan orientasi yang paling best pernah kami lalui sepanjang hidup kami yang mungkin tidak akan dapat dirasai di tempat lain.

Selepas sahaja musim sejuk, kami berpeluang menikmati musim bunga pula. Sepanjang jalan raya dipenuhi dengan bunga tulip yang berwarna-warni dan sangat cantik. Kami dapat menyaksikan perubahan pokok yang mulanya kering dan tidak berdaun, kepada pokok yang berdaun dan berbunga dalam masa yang singkat. Ya, kami sangat teruja dengan fenomena itu. Kami juga berpeluang untuk pergi ke festival bunga tulip di Kocaeli yang tidak jauh dari Sakarya.

 

BUDAYA MASYARAKAT TURKI

Dari segi culture, kami tertarik dengan beberapa perkara antaranya ialah setiap perbualan antara kami dan mereka pasti akan saling mendoakan antara satu sama lain. Selain daripada ucapan terima kasih, mereka akan berkata “Allah razı olsun” yang bermaksud semoga Allah meredhaimu. Selain itu, perkataan yang sering mereka ucapkan ialah “Kolay gelsin” yang bermaksud semoga kerja kamu dipermudahkan. Ayat ini sering diucapkan oleh masyarakat Turki kepada seseorang yang sedang bekerja. Kami sangat tertarik dengan budaya mereka yang satu ini kerana perkara ini sangat jarang didengari di negara kita. Sebenarnya banyak lagi budaya mereka yang lain daripada budaya kita, tapi setakat ini dahulu, ayuh kita bergerak ke topik yang lain.

 

SISTEM YANG SISTEMATIK

Satu perkara yang kami harap dapat diimplementasikan di Malaysia adalah sistem kad matrik/student ID yang boleh digunakan untuk pengangkutan dan makan di Kampüs. Sekali touch hanya 0.88₺ (Turkish Lira) sahaja untuk pergi ke mana-mana di dalam Sakarya. Bercakap pasal makanan, jujur kami cakap, sesungguhnya kami amat bersyukur menjadi rakyat Malaysia. Makanan mereka bukanlah tak sedap, tapi biasalah lidah orang melayu ni lain sikit. Kami kerap masak sendiri sahaja di rumah sewa. Tapi satu perkara yang best adalah makanan di yemekhane (dewan makan) Kampüs hanya bernilai 2 bersamaan RM 1.70 sahaja sekali touch, boleh makan dua kali sehari, lunch dan dinner. Makanan termasuk pilav (nasi), köfte/tavuk (bebola daging/ayam) dan çorba (sup). Roti dan air mineral pula boleh ambil banyak mana yang diingini. Part ni kami memang bersyukur banyak.

‘Big breakfast’ masyarakat Turki

Suasana lunch di yemekhane (dewan makan)

 

SUBJEK YANG DIAMBIL

Akhir sekali, kami ingin sentuh berkenaan subjek yang diambil di sana, antaranya:

  • Türkçe (Bahasa Turki)
  • Social Psychology
  • Management & Organization
  • Motion Graphic Design

Classmates & Pensyarah (hocam)

Mesti ada yang tertanya kenapa kami ambil subjek di luar bidang IT, kan? Ini kerana tiada subjek IT yang available dalam Bahasa Inggeris untuk ‘Spring Term’. Jadi, kami membuat keputusan untuk mengambil subjek di fakulti lain. Kami mengambil ini sebagai salah satu cabaran dan pengalaman yang baru sepanjang kami berada di sana. Subjek Motion Graphic Design pula diajar di dalam Bahasa Turki, tapi kami bernasib baik kerana hocam [baca: hojam] (lecturer) kami itu boleh berbahasa Inggeris. Kami belajar bagaimana untuk menggunakan Adobe After Effects dan kami juga berjaya menyiapkan beberapa projek untuk subjek tersebut. Kami ada sertakan beberapa hasil projek kami di dalam video clip di bawah.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=bID2T52PZ84]

 

Teşekkür Ederim! (Terima Kasih)

Disediakan oleh Nur Zalikha & Ameera Natasha 🙂