Pernahkan anda mendapat pesanan mesej di telefon yang meminta anda untuk memindahkan sejumlah wang kepada pihak-pihak tertentu?

Hati-hati dan anda wajib ketahui apa itu skam dan insiden yang telah berlaku melalui Internet agar anda semua tidak lagi terjebak dengan insiden ini! Statistik menunjukkan kadar jenayah skam telah meningkat dengan banyak bagai cendawan tumbuh selepas hujan melalui laman sosial seperti Instagram dan Facebook. Seperti yang kita ketahui sosial media berfungsi untuk mendekatkan hubungan silaturahim antara kita dan saudara mara, kawan-kawan, adik beradik yang mungkin tinggal berjauhan dari kita. Walaupun begitu, laman sosial ini juga berbahaya kerana ia membuka peluang kepada penjenayah untuk melakukan skam. Ini kerana pengawalan dan privasi yang rendah terhadap info-info yang dipamerkan di sosial media mengenai profil diri kita.

Terdapat pelbagai lagi jenis skam yang berlaku di sosial media yang kita wajib ketahui. Dibawah kami telah menyatakan 5 insiden skam yang berlaku di Internet yang kita perlu jaga-jaga.

 

CATFISHING

 

Apa itu “catfishing“? Ini adalah istilah yang digunakan oleh orang Barat untuk menggambarkan individu yang mengambil kesempatan atas pengguna-pengguna laman sosial seperti Facebook dan menggunakannya untuk kepentingan diri sendiri. “Catfishing” adalah terma yang digunakan bagi penjenayah siber yang mengaktifkan akaun Facebook bagi mencari mangsa dengan cara menggoda mangsa tersebut lalu mengadakan hubungan percintaan di atas talian melalui Internet. Ianya bertujuan bagi mendapatkan keuntungan ataupun sumber kewangan daripada mangsa tersebut dengan cara mengadakan hubungan di atas talian dengan mangsa. Perkara ini sudah tentu tidak berlaku hanya di Facebook. Malah ianya juga berlaku di laman sosial yang lain seperti aplikasi lain yang mempromosikan pencarian jodoh. Contoh taktik yang digunakan ialah dengan cara menggoda atau mengurat mangsa mereka dan membina hubungan percintaan dan memupuk kepercayaan dan kasih sayang yang palsu. Walhal ini hanyalah agenda palsu yang digunakan bagi kepentingan sendiri.

 

PERAMPASAN PROFIL

 

Perampasan profil atau lebih dikenali dengan nama “profile hijacking” ialah kesalahan yang dilakukan oleh individu dengan cara merampas profil pihak atau individu lain, kemudiannya menyamar menjadi pihak tersebut. Dalam kes ini, penjenayah siber akan menggunakan profil diri individu lain seperti nama, gambar, alamat rumah, nombor telefon dan pekerjaan untuk mengaktifkan akaun palsu yang baru bagi menyamar sebagai orang tersebut dan menggunakan akaun untuk kepentingan sendiri. Selain cara ini, terdapat lagi satu cara perampasan profil dimana penjenayah siber menceroboh masuk profil mangsa atau individu lain, menukar kata laluan bagi akaun tersebut dan kemudiannya menggunakan akau tersebut bagi mengugut mangsa bagi mendapatkan wang atau habuan.

 

QUIZ PALSU

 

Apakah warna kegemaran anda? Siapakah artis kegemaran anda dalam filem “Ombak Rindu”? Pernah dengar soalan begini? Inilah quiz yang selalu ditanya dan dikongsikan di laman sosial media seperti Facebook dan mengumpan serta melibatkan individu menjawab dalam masa beberapa minit sahaja. Hati-hati kerana sesetengah quiz begini adalah bagi mencuri data anda melalui soalan yang kadangkala nampak remeh. Dalam masa yang sama, penjenayah siber menggunakan peluang ini dengan menempelkan laman web yang boleh mencuri dan menceroboh maklumat peribadi anda melalui akaun laman sosial anda.

 

MESEJ BERANTAI

 

Pernahkan anda menerima mesej seperti, “Sila tekan butang retweet dan kongsikan mesej ini kepada rakan-rakan anda jika anda ingin memenangi RM1,000 000 000 dalam masa 24 jam!”? Ketahuilah bahawa ini merupaka taktik yang digunakan bagi “spammer” untuk mendapatkan perhatian orang lain dan mendapat untung melalui cara tersebut. Mereka juga menggunakan cara ini bagi mendapatkan button “like” atau “share” yang banyak

 

PHISHING REQUEST

 

Phishing Request” adalah pencerobohan yang berlaku melalui Internet iaitu melalui akaun emel. Phishing emel selalunya muncul daripada akaun yang melibatkan organisasi yang terkenal dan menanyakan soalan peribadi seperti nombor akaun bank, nombor akaun kad kredit dan kata laluan bagi laman sosial anda. Berhati-hati dan ingat bahawa organisasi yang terkenal dan organisasi yang asli tidak akan meminta maklumat peribadi anda daripada akaun emel anda.

 

What is a SCAM?