Sejak istilah teknologi maklumat muncul sekitar 70-an, kepesatan ledakannya terus memukau manusia. Teknologi maklumat komunikasi atau ICT adalah alat yang digunakan untuk menyampaikan maklumat paling pantas. Peningkatan pengaruh kemajuan teknologi maklumat di Malaysia ditunjukkan dalam Indeks Pembangunan ICT, iaitu alat pengukur kemajuan teknologi maklumat. Peningkatan permintaan kepada capaian internet dan transformasi telefon bimbit menyokong kepada pengkongsian maklumat yang mudah dan cepat telah menyumbang fenomena ini.

Dalam Islam, konsep tabligh iaitu menyampaikan telah bermula sejak turunnya wahyu yang pertama kepada Nabi Muhammad S.A.W. Al-Quran menyebutkan 44 ayat yang membicarakan tentang berita yang mengandungi maklumat. Dalam surah al-A’raaf ayat 57: Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering) kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya).

Penemuan teknologi sebagai alat komunikasi telah banyak membantu manusia melaksanakan proses kerja dengan lebih cekap dan berkesan. Kepantasan dan keluasan capahannya memberikan kita ruang dan peluang untuk meneroka. Kepesatan teknologi maklumat telah meletakkan kita dalam dunia tanpa sempadan dan batasan. Ledakan maklumat yang dibawa oleh perkembangan teknologi ini telah memberi kesan kepada cara fikir manusia.

Kadang-kadang kita tersasar jauh dek ketaksuban kepada teknologi. Terjampi dengan kecanggihannya! Firman Allah dalam Surah Fussilat: 53 yang bermaksud: “Akan Kami tunjukkan kepada mereka bukti-bukti kebenaran Kami di segenap ufuk (penjuru) dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas kepada mereka Quran itu benar.” Hakikatnya manusia sentiasa memerlukan alat untuk membantu kehidupan.

Cuba bayangkan kehidupan tanpa teknologi? Kita hanyalah seorang hamba Allah yang punya 1001 kekurangan. Perhatikan seluruh anggota kita. Telinga kita sendiri sentiasa mempunyai had untuk mendengar suara yang jauh. Kaki kita punya had untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang jauh. Mata kita juga punya had untuk melihat objek yang sangat halus atau sangat jauh. Tangan kita juga punya had untuk menggerakkan barang yang berat. Kita sentiasa memerlukan sokongan teknologi. Kita sentiasa memerlukan alat untuk menjadi lebih hebat. Justeru, adakah kecanggihan teknologi menjadikan manusia lebih banyak mengingat Sang Pencipta atau sebaliknya?

Jika disebut Syurga atau Neraka. Apa yang boleh kita bayangkan? Bagaimana dahsyatnya Neraka? Bagaimana nikmatnya Syurga? Rupanya otak juga punya had untuk menggambarkan. Hati juga punya had untuk merasa. Kita sekadar boleh membayangkan mengikut kemampuan otak kita – punya had. Kita tetap hamba Allah yang punya 1001 macam kekurangan. Bagaimana untuk jadi manusia yang hebat dengan kelemahan-kelemahan itu? Kita perlu bergantung kepada Allah, Zat Yang Maha Hebat, Pencipta segala kehebatan. Jagalah solat, bacalah Al-Quran, zikir, sedekah, dan lakukan amal soleh kerana ia adalah ‘alat ‘ untuk kita sampai kepada cinta dan redha Allah.

Kecanggihan ICT merupakan satu bentuk anugerah ilmu pengetahuan yang mengagumkan pernah dihasilkan oleh manusia. Ia adalah satu bentuk rahmat daripada Allah yang seharusnya digunakan sebagai alat untuk melaksanakan pelbagai kebaikan. Sebaliknya jika disalahguna, boleh mengubah manusia berakal yang tinggi nilainya menjadi manusia yang rendah martabatnya.

Jangan kita menjadi manusia yang sombong dan angkuh. ALLAH SWT amat membenci orang yang sombong. “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya ALLAH SWT tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri (angkuh).” – Surah Luqman :18.

Justeru, usahlah kita menjerumuskan diri dalam golongan manusia yang membawa kerosakan. Gunakanlah kecanggihan teknologi ICT sekadar alat untuk menjadikan kita manusia yang dapat memberi manfaat kepada seluruh alam. Semoga kita menjadi hamba Allah yang hebat!

 


Penulis: Siti Zaharah Mohid (PhD)
Pensyarah di Jabatan Multimedia, Fakulti Sains Teknologi Maklumat (FSTM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).
Gambar kredit pexels.com