Melahirkan mahasiswa yang beradab bukan sahaja cemerlang akademiknya tetapi juga cemerlang dari sudut sahsiah merupakan niche Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat (FSTM). Pendidikan sepatutnya melahirkan insan yang baik, mempunyai adab dan tahu tujuan keberadaan mereka di dunia ini. Bagi mencapai matlamat ini sesebuah pengajian tinggi haruslah mengubah pandangan terhadap pengertian kewujudannya dan bukan bertujuan menghasilkan produk “mesin bernyawa” sebagai sumber manusia kepada ekonomi. Pendidikan berasaskan adab Menghasilkan mahasiswa beradab beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian.

Pertama ialah mengembalikan “jiwa” dalam Pendidikan. Ini boleh dicapai dengan menekankan peranan adab terutamanya dalam menuntut ilmu. Walaupun fokus utama fakulti adalah untuk menghasilkan mahasiswa yang mahir dalam teknologi semasa tetapi mahasiswa juga diterapkan dengan makna sesuatu perkara itu.

Keduanya peranan pendidik itu sendiri. Pendidik bukan sahaja penyampai maklumat tetapi berperanan mendidik secara bersepadu dengan konsep pengajaran (pemindahan maklumat, pengalaman, ketrampilan) dan tarbiyyah (Mendidik keperibadian, sikap dan cara hidup yang berdasarkan nilai-nilai murni) agar hasil pembelajaran nanti akan melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja mahir dalam bidang yang dipelajari malah tahu dan mahu mematuhi peraturan dan mempunyai kekuatan diri yang kukuh.

Ketiga, mahasiswa perlu dilayan sebagai penuntut ilmu, yang berkehendakkan sesuatu dan perlu dibimbing dan menjelaskan perbezaan antara yang haq dan batil. Kesilapan dan kesalahan mahasiswa perlu diperbetulkan dengan penuh kasih sayang.

Tiga elemen penting dalam menghasilkan mahasiswa beradab. Dalam menghasilkan mahasiswa beradab tiga elemen penting harus diterapkan iaitu Al-Mas’uliyyah (kebertanggungjawaban), Qudwah al-Hasanah (contoh yang baik) dan Biah Solehah (persekitaran yang baik).

1. Al-Mas’uliyyah Kebertanggungjawaban (Accountability)

Kebertanggungjawaban bermaksud tugas dan tanggungjawab yang dilakukan oleh seseorang dan ia pula bersedia untuk menerima kesan dan implikasi dari sesuatu perbuatan atas tindakan yang dilakukannya. Konsep ini meliputi kebertanggungjawaban dan hubungan insan terhadap Pencipta, sesama insan dan alam. Sifat bertanggungjawab terhadap Tuhan bermaksud menjalankan tugas sebagai hambaNya di dunia ini dengan melaksanakan segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya, menyeru kearah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Sifat bertanggungjawab sesama insan pula adalah bertanggungjawab sebagai anak, ibu, bapa, isteri, majikan, pekerja, guru atau pelajar dengan menyempurnakan hak masing-masing. Manakala kepada alam pula bermaksud hubungan manusia dengan alam persekitaran termasuk haiwan, tumbuhan, kemudahan dan juga sistem yang dijalankan.

2. Qudwah Hasanah

Menunjukkan contoh yang baik bermaksud kaedah pendidikan tidak formal yang memperlihatkan konsep ihsan dengan mengikut jejak langkah Rasulullah saw yang akan mencerna kemahiran insaniah dalam kehidupan. Ihsan bererti membuat sesuatu yang betul walaupun tiada siapa yang melihat. Seseorang yang mempunyai nilai ihsan perlu tahu, buat dan jadi (know, do and be). Kemahiran Insaniah (soft sklills) adalah 7 kemahiran yang perlu ada dalam diri mahasiswa yang akan membantunya menghadapi dunia pekerjaan. Selain dapat membentuk diri menjadi insan yang baik. 7 kemahiran itu adalah;

(i) Kemahiran Berkomunikasi;

(ii) Pemikiran Kritis dan Kemahiran Menyelesaikan Masalah;

(iii) Kemahiran Kerja Berpasukan;

(iv) Pembelajaran Berterusan dan Pengurusan Maklumat;

(v) Kemahiran Keusahawanan;

(vi) Adab, Nilai dan Profesional

(vii) Kemahiran Kepimpinan

3. Bi’ah Solehah Bi’ah solehah

Dalam bahasa Melayu persekitaran yang baik, bermaksud membina persekitaran yang solehah sesuai dengan keberhasilan dan proses pengalamian ilmu, iman dan amal. Kesepaduan komponen-komponen ini sangat relevan bagi menghasilkan suasana yang harmoni sesuai dengan bi’ah solehah. Pelaksanaan konsep bi’ah solehah melibatkan beberapa komponen iaitu masjid, aktiviti mahasiswa, bahasa, budaya dan fasiliti. Masjid merupakan satu-satunya pusat pembangunan sahsiah yang menjadi lambang kepada proses kesepaduan ilmu.

Peranan masjid ialah membangun aktiviti mental mahasiswa yang melibatkan hubungan dengan Tuhan dan sesama manusia. Sebagai contoh program sempena bulan kebesaran, penekanan solat berjemaah, bacaan al-Quran dan zikir serta kuliah-kuliah ilmu yang dilaksanakan di masjid akan membantu mewujudkan persekitaran muttaqin atau God Conscious.

Aktiviti Pelajar pula merupakan medan bagi pelajar mengembangkan potensi mereka serta membangunkan kemahiran-kemahiran insaniah, generik dan softskills. Dengan meletakkan dasar penganjuran yang bertepatan dengan nilai-nilai murni serta perancangan taqwim yang baik akan melancarkan pelaksanaan program dan aktiviti. Bahasa adalah medium komunikasi yang berkesan di dalam proses menyatupadukan etnik dalam komuniti.

Penggunaan bahasa yang sesuai dengan persekitaran IPT serta kepelbagaian bahasa seperti bahasa Melayu, Inggeris, Arab dan lain-lain akan membuatkan pelajar berusaha menggunakan bahasa yang betul dan dapat membantu melahirkan suasana ilmu. Budaya adalah satu hasil yang bersifat substance yang terbias dari unsur-unsur budaya.

Persekitaran yang baik dapat dilaksanakan dengan membudayakan sikap positif dalam kehidupan seperti memberi salam, tolong-menolong, bersedekah serta berlumba-lumba dalam membuat kebaikan. Pelaksanaan bi’ah solehah juga perlu kepada prasarana atau fasiliti.

Oleh itu, adalah perlu untuk memastikan persekitaran yang baik dan murni terdapat pada prasarana seperti café, perpustakaan, pengangkutan, kolej kediaman dan lain-lain yang akan membantu pelajar mengekalkan budaya murni bukan sahaja di kuliah malah di luar proses pembelajaran formal seterusnya kehidupan di luar IPT. Pendidikan merupakan proses dalam pembentukan diri mahasiswa yang kita inginkan.

Sebagai sebuah IPTS Islam, wajar untuk melaksanakan pendidikan yang bersepadu untuk menghasilkan mahasiswa yang bukan sahaja menjadi rebutan kerana kebolehan dan kemahiran semata tetapi mempunyai akhlak dan beradab.


Penulis:
Puan Siti Noor Binti Ahmad merupakan pensyarah di Jabatan Sains Komputer, Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat (FSTM).
Ustazah Wazzainab binti Ismail merupakan pensyarah Bahasa Arab , Pusat Pengajian Teras (PPT) KUIS, yang kini sedang cuti belajar.

 


FSTMKUIS mempunyai dua buah jabatan utama iaitu Jabatan Teknologi Maklumat (Multimedia) dan Jabatan Sains Komputer, menawarkan empat program prasiswazah iaitu;

Manakala program pengajian pasca-siswazah;

  • PT01 Ijazah Doktor Falsafah Multimedia Kreatif
  • MC03 Teknologi Maklumat
    =>bit.ly/fstmmit
  • MT20 Sains (Multimedia Kreatif)

Pengajian Asas Teknologi Maklumat (oleh Pusat Asasi)
Panduan dan syarat kemasukan di sini
=> http://bit.ly/fstmasasi

Kami di #FSTMKUIS berbesar hati mempersilakan anda semua meneroka peluang-peluang sambung belajar dalam bidang Multimedia, IT, Sains Komputer atau Teknologi Rangkaian.

Pelbagai program IT dipacukan bersama rakan teknologi industri seperti Microsoft, Redhat Academy, Cisco, Adobe dan Amazon Web Services.

(rujukan http://www.kuis.edu.my/v4/kemasukan/program-pengajian )