Siapa tidak kenal Mat, watak kartun animasi yang selalu menyarungkan kain pelikat dengan singlet putih. Siapa tidak kenal Yob, Yah, Ana, Opah, Norma, Bo dan Tak? Jika anda tahu nama-nama watak ini, anda sudah tentunya tahu tentang siri animasi karya Lat iaitu Kampung Boy. Selain itu, siapa tidak kenal watak-watak siri animasi biografi arahan Raja Azmi iaitu Misbun, Ajib, Alan, Aman dan Rashid? Mereka ialah jaguh-jaguh badminton negara yang kisah kehidupan mereka diangkat menjadi siri animasi di televisyen negara. Tidak lupa juga watak-watak yang ikonik seperti Gelanggang, Shuttle, Raket dan juga pasangan cicak yang sering dibuli misbun.

Kesemua watak diatas adalah siri animasi dan isi wataknya yang sangat popular mengikut zaman siri animasi diterbitkan. Dapat dilihat, animasi di Malaysia bukanlah bermula dari siri animasi terkini seperti Upin & Ipin atau Boboiboy. Animasi telah lama wujud di Malaysia. Tidak percaya? Jom kita jelajah.

Sebelum menyelusuri karya-karya animasi di Malaysia, mari kita lihat apa itu ‘animasi’. Animasi merupakan gambar begerak yang terbentuk dari sekumpulan objek (gambar) yang disusun secara beraturan mengikuti alur pergerakan yang telah ditentukan pada setiap pertambahan hitungan waktu yang terjadi. Gambar tersebut terdiri daripada gambar makhluk hidup, benda mati, ataupun tulisan.

Selain itu juga, animasi berasal dari bahasa Inggeris iaitu animate yang bermaksud menghidupkan, memberi jiwa dan menggerakan benda mati. Animasi merupakan proses membuat objek yang pada asalnya objek mati, kemudian disusun dalam posisi yang berbeza seolah-olah menjadi hidup. Di dalam animasi ada dua objek penting, iaitu objek atau gambar dan alur gerak.

Untuk pengetahuan anda, Wayang Kulit diiktiraf sebagai contoh animasi pertama di dunia. Hal ini demikian kerana pergerakan yang terdapat dalam wayang kulit mempunyai elemen dalam filem, iaitu layar putih, cahaya suluhan, dan imej yang bergerak. Pengaruh animasi di Barat dalam mengaplikasikan wayang kulit terbukti apabila animator dari Jerman, Lotte Reiniger, mendapat ilham untuk menghasilkan filemnya, The Adventures of Prince Achmed (1926) berasaskan seni itu. Penerbitan animasi tempatan sudah bermula sejak tahun 1946 lagi menerusi penubuhan Malayan Film Unit (MFU) (sekarang dikenali sebagai Filem Negara) menerusi filem animasi pendek pertama, Hikayat Sang Kancil yang disiapkan oleh seorang pereka set bernama Anandam Xavier. Walaupun disiapkan pada tahun 1978, animasi itu hanya ditayangkan kepada umum sempena Hari Raya Puasa pada tahun 1983.

Selain itu juga, siri animasi terkenal seperti Usop Sontorian, Anak-Anak Sidek dan Kampung Boy telah mendapat hati penonton televisyen sekitar tahun 1996 hingga 2005. Siri animasi tersebut berbentuk 2D (2 Dimensi). Disamping itu juga, oleh kerana gesaan daripada kerajaan terhadap penggunaan teknologi digital pada awal 1980-an, maka terhasillah siri TV animasi pertama iaitu Usop Sontorian.

Walaubagaimanapun, Malaysia tidak bermula dengan kartun animasi tersebut dalam penggunaan teknologi digital untuk menghasilkan animasi tempatan. Hal ini kerana, sebuah filem animasi yang diterbitkan pada tahun 1998 hasil arahan Hassan Abd Muthalib, Silat Legenda merupakan filem cereka animasi pertama menggunakan sistem bunyi Dolby Digital Surround. Selain itu, filem ini juga merupakan filem animasi pertama yang menggunakan suara latar beberapa artis terkemuka negara seperti Noor Kumalasari dan Datuk Jalaluddin Hassan. Filem ini mengisahkan lima remaja yang menemui lima belah keris yang pernah digunakan pahlawan Melayu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Silat Legenda diberi Anugerah Khas Juri untuk filem animasi Malaysia yang pertama di Festival Filem Malaysia ke-14 pada tahun 1999.

Poster Filem animasi Silat Lagenda.

Berikutan itu, filem animasi mula mendapat perhatian penonton apabila siri animasi Upin & Ipin dipindahkan ke layar perak yang diberi tajuk Upin & Ipin: Pengembaraan Bermula. Filem animasi ini mencatat sejarah tersendiri apabila mengutip sebanyak RM6.8 juta pada 2006. Bukan itu sahaja, filem animasi itu juga mendapat tempat di hati penonton dari Indonesia khasnya. Oleh hal yang demikian, filem Upin & Ipin itu  dieksport ke Indonesia. Kejayaan Upin & Ipin menembusi pasaran antarabangsa adalah kerana ceritanya yang boleh difahami oleh masyarakat Indonesia yang memiliki latar budaya yang sama dengan Malaysia.

Oleh kerana kejayaan Upin & Ipin memberi impak yang besar, terbaru kejayaan filem animasi Boboiboy yang mencatatkan kutipan sebanyak RM16 juta membuktikan kemampuan anak tempatan menghasilkan filem animasi setanding dengan filem animasi terbitan Hollywood. Selain itu, Syarikat Silver Ant Sdn Bhd melancarkan filem animasi Seefood di Cannes, Perancis pada April 2011.

Walaupun industri filem tempatan kecil, namun Malaysia sudah membuktikan kepakaran rakyat tempatan dalam bidang animasi dengan penerbitan filem animasi berkualiti tinggi seperti Upin & Ipin, Boboiboy, Salahuddin The Animated Series dan Seefood.

Poster Filem SeeFood.

Pembikin filem animasi kini boleh mensasarkan filem animasi mereka kepada rantau Asean yang memiliki akar budaya yang sama dengan Malaysia. Ini kerana, Asean adalah kuasa ketujuh ekonomi dunia menyediakan pasaran luas kepada filem Malaysia berdasarkan asas budaya yang sama dan kedudukan geografinya. Hal ini secara tidak langsung akan dapat memudahkan pemahaman mereka terhadap cerita yang disampaikan.

 

Kredit:

Dr Hizral Tazzif Hisham (Kejayaan Filem Animasi Tempatan Tembusi Pasaran Antarabangsa Bukti Kemampuan Tenaga Kreatif Malaysia)

 

By: Bell & Fifi