Pada era globalisasi ini, terdapat pelbagai aplikasi yang berfungsi untuk memudahkan urusan harian penggunanya. Individu boleh melakukan segala transaksi dengan mudah. Mereka lebih cenderung untuk melakukan segala urusan mereka di atas talian. Namun, semua kecanggihan yang dikecapi pada hari ini bukan sahaja memberi impak positif, bahkan boleh memberi impak yang negatif buat penggunanya.

Terdapat penjenayah IT atau lebih dikenali sebagai penggodam kian rancak mengambil kesempatan di atas kemudahan yang telah disediakan. Mereka akan cuba untuk mengakses informasi peribadi individu, misalnya kata laluan pengguna.

Disini, kami kongsikan beberapa kes menggodam yang menarik pernah berlaku di tanah air

PEROMPAK ‘1 SEN’

Kebiasaannya, jenayah rompakan bank biasa dilakukan dengan menggunakan  senjata api dan menyusup masuk ke dalam bank lalu memaksa pegawai bank untuk menyerahkan wang. Namun, pada tahun 1990, negara digemparkan dengan satu kes rompakan bank yang tidak disangka-sangka akan terjadi. Aman Shah merupakan seorang graduan perakaunan dari Institut Teknologi Mara (UiTM) dan berusia 24 tahun ketika melakukan jenayah berat ini. Dia  bekerja di Hock Hua Bank dan merupakan pekerja yang cekap dan berkaliber. Melihat potensinya, majikannya menghantarnya untuk menghadiri kursus komputer di mana dia akan mempelajari pelbagai kemahiran komputer yang sukar.

Aman Shah melakukan jenayah ini dengan memperdaya pihak pengurusan Bank Negara dimana dia menggunakan Sistem Pemindahan Elektronik untuk Dana dan Sekuriti (SPEEDS). Arahan palsu ini membolehkan Aman menipu Hock Hua Bank dengan memindahkan wang sebanyak RM0.01 Sen daripada bank itu ke akaun bistro miliknya. Dia berjaya memindahkan wang daripada pelanggan di Hock Hua Bank dengan cara memecahkan kod keselamatan bank itu hasil daripada kursus komputer yang dipelajarinya.

Hasil daripada jenayahnya, dia berjaya mengaut keuntungan sebanyak RM4.01 juta dan mengambil masa sebanyak 14 hari sahaja dengan mengeluarkan RM0.01 sen daripada setiap pelanggan di Bank. Perkara ini disedari oleh bekas majikannya yang melihat Aman Shah ditemubual di dalam rancangan di TV3. Aman Shah bercakap mengenai 6 buah kereta mewah di rancangan itu dan salah satu kereta mewah yang dimilikinya ialah Lamborghini Countach yang bernilai lebih RM1.3 juta ringgit!

Majikannya yang langsung tidak kagum dengan kekayaan yang dimiliki bekas pekerjanya yang bergaji hanya RM1800 berasa curiga lalu bergegas menemui juruauditnya untuk melakukan audit terhadap semua transaksi yang dilakukan Aman Shah. Selepas mendapat bukti yang kukuh, bekas majikannya membuat laporan polis pada 8 Jun 1990. Aman Shah diberkas di kondominium mewahnya di Bangsar tiga hari kemudian.

ANCAMAN ANONYMOUS MALAYSIA

Anonymous merupakan sebuah kumpulan penggodam yang cukup terkenal dalam kegiatan serangan siber terhadap kerajaan sesebuah negara. Ia ditubuhkan pada tahun 2003 dan ahlinya akan tampil dengan mengenakan topeng ‘Guy Fawkes Masks’. Mereka juga digelarkan sebagai ‘pengganas siber’.

Pengaruh mereka yang besar boleh dilihat pada tahun 2012, majalah ‘Time’ menyatakan kumpulan ini adalah salah satu daripada ‘100 most influential people in the world’.

Pada tahun 2015, negara pernah dikejutkan dengan sebuah kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Anonymous Malaysia menerusi sebuah video yang mengumumkan perang siber terhadap kerajaan Malaysia. Menurut kumpulan ini, mereka mengancam untuk melancarkan serangan pada 29 Ogos hingga 30 Ogos. Mereka menyasarkan laman web yang menggunakan gov.my dan edu.my oleh kerana sistem pertahanannya lemah tetapi merupakan laman sesawang yang penting buat negara ini.

GAYSEC MENGGODAM 5 LAMAN SESAWANG BESAR DI MALAYSIA

Laman sesawang Nuffnang telah digodam pada tahun 2011 dengan maklumat 34 531 pengguna telah didedahkan. Selain itu, emel-emel turut didedahkan oleh kumpulan ini. Sebelum kejadian ini berlaku, Gaysec juga telah berjaya menggodam pangkalan data Streamyx namun tiada maklumat peribadi pengguna didedahkan. TV3 dan CIMB turut dijadikan sasaran kumpulan ini.

Tetapi, menurut kata kumpulan ini, mereka langsung tidak berniat jahat. Mereka melakukan perkara sedemikian oleh kerana mahu pihak yang bertanggungjawab meningkatkan tahap keselamatan laman sesawang yang dianggap terkenal.

SERANGAN RANSOMWARE WANNACRY 2.0

Ransomware ini pada asalnya dikenali sebagai AIDS Trojan Ransomware yang dicipta oleh Joseph Popp pada tahun 1989. Pada tahun 2017, dunia dikejutkan dengan serangan ransomware yang membuatkan ramai tak tidur malam. Ransomware ini akan mengakibatkan fail-fail yang terkandung dalam komputer kita akan terkunci atau dihalang. Bagaimana cara untuk mendapatkan fail kita semula? Sejumlah wang perlu dibayar kepada penjenayah siber bagi mendapatkan semula ‘kunci’ yang menyebabkan fail di dalam komputer itu terhalang.

Lebih daripada 150 buah negara telah terkesan dengan serangan ini dan Malaysia merupakan negara yang tidak terkecuali. Serangan ini bermula pada 12 Mei 2017. Mereka bukan sahaja menyasarkan komputer persendirian, tetapi turut menyasarkan syarikat besar dan sektor awam. Syarikat besar yang mempunyai ramai pegawai ICT yang hebat-hebat seperti FedEx, Russian Interior Ministry turut tumpas ditangan team WannaCry 2.0. Mereka turut menyasarkan data-data pesakit di hospital. Mereka tidak memadamkan data tersebut, tetapi mengunci data tersebut sehingga wang tebusan dibayar.

Sekirannya komputer anda dijangkiti oleh WannaCry2.0, gambar di atas akan terpampang pada skrin anda.

CIMB CLICKS DIGODAM

Pada 17 Disember 2018, Malaysia telah digemparkan dengan isu di mana salah satu syarikat bank yang besar di Malaysia di mana sistem perbankan di atas taliannya yang lebih dikenali sebagai CIMB Clicks telah digodam oleh penjenayah IT dengan menggodam kata laluan beberapa penggunanya. Beberapa pengguna akaun CIMB Clicks telah mengemas kini status di Facebook dengan mengatakan bahawasanya akaun mereka telah dikosongkan melalui beberapa transaksi dalam masa beberapa hari.

Individu yang terbabit dengan isu ini menambah pula dengan mendapat mesej yang menyatakan mereka telah melalukan beberapa transaksi walhal pada ketika itu mereka tidak melakukan apa-apa transaksi. Hal ini mendapat liputan luas di media sosial dan pihak CIMB tidak mengalakkan pengunanya melakukan apa-apa transaksi di atas talian pada ketika itu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingin akan berlaku.

Bukan sahaja di Malaysia, Negara luar juga tidak terkecuali daripada ancaman penggodam. Berikut merupakan antara 5 penggodam yang paling berbahaya dalam sejarah.

LANGKAH KESELAMATAN

Penggodam pada masa kini tampil dengan lebih intelektual dan berketerampilan dan mereka juga terdiri daripada inteligensia yang cukup mahir dengan penggunaan Komputer dan juga selok-belok Internet.

Terdapat beberapa cara untuk memastikan sama ada akaun perbankkan di atas talian atau laman sesawang kita lebih selamat. Penguna boleh meletakkan kata laluan yang agak panjang, kuat dan mempunyai kombinasi abjad dan juga angka.

Cara ini efektif dalam memastikkan agar penggodam tidak mudah untuk mengakses kata laluan pengguna. Akhir sekali, elakkan untuk click pautan yang aneh dan tidah sahih akan identiti penghantarnya, ianya mungkin salah satu cara untuk penggodam mengakses kata laluan dan juga informasi peribadi pengguna.